Peguam kata Majlis Raja-Raja tiada kuasa campur tangan kes RM2.6 bilion Najib


The Malaysian Insight

MAJLIS Raja-Raja tidak mampu berbuat apa-apa selaras dengan peruntukan Perlembagaan berkaitan dakwaan RM2.6 bilion dimasukkan ke dalam akaun peribadi Najib Razak, kata peguam.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Shukri Abdull hari ini mengatakan agensi itu memohon bantuan raja-raja selepas pentadbiran Najib membubarkan pasukan penyiasatnya berkaitan kes itu.

Peguam bagaimanapun mengatakan dalam sistem perlembagaan beraja, kuasa raja-raja terbatas dalam konteks kuasa simpanan atau tugas dalam majlis tertentu sahaja.

“Secara peribadinya, saya tak rasa Majlis Raja-Raja boleh bertindak dalam situasi itu. Mereka boleh, sekurang-kurangnya, keluarkan kenyataan dan saya rasa mereka buat (keluarkan kenyataan),” kata peguam Syahredzan Johan.

Dalam sidang media penuh emosi di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya hari ini, Shukri mengatakan selepas usaha suruhanjaya untuk menyiasat skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) gagal, beliau memohon bantuan raja-raja tetapi “ditolak dua kali”.

Tetapi raja-raja tidak ada kuasa di bawah perlembagaan untuk mengarahkan siasatan dibuka, kata peguam perlembagaan Abraham Au: “Paling boleh pun mereka boleh beri nasihat tetapi ia tidak ada kuasa pengikat (undang-undang).”

Timbalan Pengerusi Bersama Jawatankuasa Undang-Undang Perlembagaan Badan Peguam, Lim Wei Jiet berkata apa yang boleh dilakukan oleh raja-raja dalam “situasi luar biasa” sebegitu hanyalah meningkatkan kesedaran awam untuk memberi tekanan kepada penguasa.

“Mereka tak boleh buat apa-apa yang berpelembagaan dan sah di sisi undang-undang. Tetapi dalam sistem raja berpelembagaan, adalah diharapkan yang raja-raja memberi nasihat kepada kerajaan ketika itu apa yang boleh dan tidak boleh. Tetapi, nasihat itu tiada kuasa pengikat undang-undang.

“Mereka tidak seharusnya keluarkan kenyataan kerana kita tak mahu diperintah oleh sultan, tetapi dalam situasi khas saya rasa raja-raja patut bersuara,” katanya. – 22 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen