NAJIB Razak meninggalkan ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas disoal selama lebih empat jam hari ini.
Bekas perdana menteri itu dipanggil untuk memberi kenyataannya berkaitan dengan SRC International, anak syarikat 1 Malaysia Development Berhad (1MDB).
Bekas presiden Umno itu tiba pada jam 9.41 pagi dengan menaiki Toyota, Vellfire bersama dua polis pengiring dan tiga kenderaan lain. Beliau meninggalkan SPRM pada pukul 3.15 petang.
Najib memberitahu media beliau akan kembali pada Khamis untuk disoal lagi dan mengucapkan terima kasih kepada penyiasat SPRM kerana kerja profesional mereka.
Beliau berkata kenyataan yang diambil hari ini adalah kesinambungan kepada kenyataan yang diberikannya pada 2015.
“Kenyataan hari ini lebih terperinci dengan dokumen sokongan,” katanya.
Beliau menambah soal siasat bermula pada 10 pagi dan berakhir pada 2.15 malam dengan 30 minit rehat.
“Sebahagian besar (soal siasat) telah selesai dan selebihnya akan disambung semula pada Khamis,” kata Najib.
Terdahulu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Mohd Shukri Abdull berkata Najib tidak akan ditangkap hari ini dan beliau disoal selepas badan pencegah rasuah itu menerima bukti baru.
Turut hadir di SPRM ialah bekas peguam negara Abdul Ghani Patail dan Pengarah Jenayah Komersial Bukit Aman, Amar Singh Ishar Singh.
Sepanjang minggu lalu, polis melakukan pelbagai serbuan di hartanah di sekitar bandar yang dikaitkan dengan Najib.
Polis merampas jutaan ringgit dalam bentuk tunai, beg berjenama dan barang berharga lain. – 22 Mei, 2018.
Komen