Wan Azizah serah kerajaan negeri Pakatan tentukan 30% exco wanita


The Malaysian Insight

MENTERI Hal Ehwal dan Kebajikan Wanita Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini berkata terpulang kepada pemimpin negeri untuk menentukan bilangan exco wanita.

“Saya serahkan kepada ketua menteri (dan menteri besar),” katanya pada sidang media di pejabat Timbalan Perdana Menteri di Putrajaya pagi tadi.

Beliau menjawab pertanyaan mengapa negeri-negeri pimpinan Pakatan Harapan (PH) tidak mempunyai sekurang-kurangya 30% exco wanita seperti yang dijanjikan dalam menifesto PH.

Dr Wan Azizah berkata PH akan komited memenuhi janji mereka untuk memastikan sekurang-kurangnya 30% pembuat dasar adalah wanita namun beliau tidak menyebut bilakah sasaran itu akan dipenuhi atau memberikan komen sama ada situasi ketika ini disebabkan oleh kekurangan adun wanita berkelayakan di negeri.

Pulau Pinang, Perak, Melaka dan Johor masing-masing mempunyai seorang exco wanita manakala Selangor dua.

Kedah dan Negeri Sembilan masih belum mengumumkan barisan exco masing-masing.

Semalam, sekumpulan kecil aktivis telah mengadakan protes di luar Istana Negara bagi mendesak PH memastikan sekurang-kurangnya 30% ahli Kabinet adalah wanita. – 22 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen