APABILA Anwar Ibrahim dan anaknya, Nurul Izzah dipanggil mengadap Sultan Johor malam tadi, apa yang tersirat lebih ternampak berbanding yang tersurat.
Bukan saja Sultan Ibrahim mengirimkan pesawatnya yang baharu untuk menjemput Anwar dan anak perempuannya itu tetapi baginda menunggu untuk berbuka puasa bersama – lebih tiga jam selepas orang Islam di seluruh negara berbuka puasa.
Kita mesti faham. Sultan Johor tidak menunggu sesiapa, terutamanya di negeri selatan itu tempat beliau berkuasa.
Tetapi ini Malaysia baru, tempat anak raja dan anak papa kini harus menyelusuri landskap politik yang berbeza dengan orang lain sekarang duduk di kerusi kuasa dan persahabatan baru harus dijalin.
Pertemuan di Johor Bahru malam tadi mustahak bagi kedua-dua pihak.
Bagi Anwar, ia isyarat jelas kepada dunia bahawa walaupun beliau tidak memegang jawatan dalam kerajaan Pakatan Harapan, pihak yang berkepentingan yang berpengaruh masih percaya beliau ada pengaruh besar di Malaysia.
Mustahak untuk Anwar menyubur dan menyebarluaskan pandangan bahawa beliau ada pengaruh untuk mendekati kerabat diraja dan kelompok lain yang mungkin masih ragu dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan kerajaan Pakatan Harapan.
Raja-raja Melayu ada hubungan yang kurang akrab dengan Dr Mahathir sejak beliau menggerakkan langkah mengurangkan kuasa mereka semasa jadi perdana menteri kali pertama dulu.
Dalam konteks sejarah itu, mungkin agak sukar bagi sesetengah sultan untuk menghulurkan tangan dan menjalin hubungan yang mesra dengan Dr Mahathir.
Tetapi mereka tidak kisah untuk berhubung dengan Anwar. Sejak mendapat pengampunan diraja dan dibebaskan dari penjara, bekas timbalan perdana menteri itu berkata beliau mahu jadi suara pengimbang di Malaysia dan merapatkan hubungan antara kelompok.
Bagi Sultan Johor, pertemuan semalam adalah satu langkah yang bijak.
Beliau memberikan bakal perdana menteri satu penghormatan yang sewajarnya dan menghantar isyarat bersedia untuk bekerjasama dengan kerajaan yang memerintah.
Tidak ada ruginya untuk mempunyai sekutu yang berkuasa. – 22 Mei, 2018.
Komen