Siasatan ke atas SRC International siap pada 2015, kata ketua SPRM


The Malaysian Insight

KETUA Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) Mohd Shukri Abdull berkata pasukan pertama yang menyiasat skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tiga tahun lepas sudah menyelesaikan siasatan dan laporan mereka terhadap SRC International ketika itu.

Mohd Shukri terlibat dalam pasukan petugas khas yang mengetuai siasatan ke atas kaitan SRC International dengan skandal 1MDB pada 2015.

Beliau hari ini memberitahu wartawan siasatan dan laporan tersebut sudahpun selesai ketika bertemu bekas peguam negara Abdul Gani Patail pada 27 Julai 2015.

“Saya berjumpa Gani pada Isnin pukul 6 petang. Beliau bertanya kepada saya, awak dah bersedia? Sebab kita akan dakwa pada Rabu,” kata Mohd Shukri.

Namun, apa yang mengejutkan beliau ialah Abdul Gani dipecat pada keesokan harinya, di mana tarikh pemecatan adalah pada Isnin, iaitu hari mereka berdua bertemu.

“Saya dapat tahu mengenainya pada Selasa ketika sedang bermesyuarat,” kata Mohd Shukri.

Semalam, kerajaan mengumumkan Abdul Gani, Mohd Shukri, bekas ketua pesuruhjaya Abu Kassim Mohamed dan bekas timbalan pengarah Cawangan Khas Abdul Hamid Bador akan mengetuai satu pasukan penyiasat khas baru ke atas 1MDB.

Pada 2015, pasukan petugas khas yang terdiri daripada ketua-ketua polis, bank pusat, SPRM dan Pejabat Peguam Negara telah mula menyiasat 1MDB, tetapi dibubarkan setahun kemudian selepas tiga ahli melepaskan jawatan.

Satu lagi pasukan khas yang dibentuk oleh pasukan polis pada 2016 di bawah bekas ketua polis negara Khalid Abu Bakar. – 22 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen