KETUA Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baru, Mohd Shukri Abdull mendedahkan ada seorang “ahli Parlimen dari Utara” pernah datang memujuk beliau tiga tahun lalu untuk menghentikan siasatan badan anti rasuah itu ke atas wang RM2.6 bilion yang masuk ke akaun peribadi bekas perdana menteri Najib Razak.
Katanya, ahli Parlimen itu datang berjumpa dengannya dua kali tetapi dua kali juga tidak dilayan.
“Saya tidak mahulah cakap siapa dia,” kata Shukri dalam sidang medianya di ibu pejabat SSPRM di Putrajaya, hari ini.
Menurut Shukri, semasa datang berjumpa dengannya, ahli Parlimen itu bertanya: “Datuk hendak apa?”
Soalan sama ditanya lagi pada pertemuan mereka kali kedua, katanya, meminta beliau memberitahu apa yang beliau mahu agar siasatan kes itu dapat ditutup.
“Kali kedua itu, saya kata saya akan tangkap (ahli Parlimen itu) kalau cakap macam itu,” tambah Shukri.
Tegas Shukri, kes duit RM2.6 bilion yang masuk ke akaun peribadi Najib itu “terlalu besar sehingga tidak dapat ditutup.”
Shukri turut menjelaskan beliau tidak tahu apakah ahli Parlimen berkenaan berbuat demikian atas tindakannya sendiri atau disuruh oleh mana-mana pihak, termasuk dari pejabat bekas perdana menteri.
Najib hari ini memberikan keterangan kepada SPRM berhubung satu lagi siasatan melibatkan pengaliran wang sebanyak RM42 juta ke akaunnya dari SRC International Sdn Bhd, bekas anak syarikat 1Malaysian Development Berhad (1MDB). – 22 Mei, 2018.
Komen