PASUKAN petugas khas 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang baru ditubuhkan akan bertanggungjawab untuk mendapatkan semula aset dan wang daripada aktiviti haram berkaitan syarikat pelaburan negara itu.
Dalam satu kenyataan hari ini, pasukan diketuai bekas peguam negara Abdul Ghani Patail itu, pasukan itu akan mengadakan mesyuarat pertama di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya hari ini.
Pasukan itu juga dianggotai oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM Mohd Shukri Abdull, bekas ketua pesuruhjaya SPRM Abu Kassim Mohamed dan bekas timbalan pengarah Cawangan Khas Abdul Hamid Bador.
Dalam kenyataan yang ditandatangani empat ahli, pasukan itu berkata ia akan turut menyiasat suspek jenayah di bawah Akta SPRM, Akta Pengubahan Wang Haram dan Kanun Keseksaan.
Kumpulan itu yang dilantik oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad akan mengadakan mesyuarat kedua esok.
Bekas perdana menteri Najib Razak yang didakwa memainkan peranan dalam penyelewengan dana daripada syarikat itu, memberikan kenyataannya di SPRM hari ini. – 22 Mei, 2018.
Komen