Gobind janji mansuh akta anti berita palsu


The Malaysian Insight

MENTERI Komunikasi dan Undang-undang Pakatan Harapan (PH) Gobind Singh Deo hari ini berkata beliau berjanji untuk memansuhkan undang-undang Anti Berita Palsu.

Pada hari pertama di kementerian itu, menteri yang baru saja dilantik itu berkata beliau akan menegakkan kebebasan bersuara dan media di negara ini bermula dengan memansuhkan undang-undang menindas itu.

“Kami akan mengkaji akta berita palsu itu. Kami sudah menyatakannya dalam manifesto.

“Kami akan mansuhkan. Saya akan mencadangkan kepada perdana menteri dalam mesyuarat Kabinet itu yang patut kita lakukan,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

Malaysia antara beberapa negara yang menggubal undang-undang terhadap berita palsu.

Di bawah undang-undang itu, pesalah berdepan hukuman denda RM500,000 atau penjara enam tahun.

Ahli Parlimen Puchong daripada DAP itu berkata beliau akan memperjuangkan penubuhan majlis media yang akan mendengar rungutan daripada pengamal media.

“Wartawan bebas menulis dan kritikan dialu-alukan. Ada keperluan untuk kebebasan media yang lebih luas,” katanya.

Peguam itu berkata kementerian akan juga mengkaji untuk meminda beberapa undang-undang termasuk Akta Percetakan dan Penerbitan serta undang-undang komunikasi.

Gobind berkata beliau akan mengadakan lawatan ke Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk menyemak semula fungsi agensi itu.

“SKMM juga akan mengalami perubahan. Tetapi saya belum dapat jelaskan secara terperinci. Beri saya beberapa hari, saya perlu melawat SKMM dulu,” katanya. – 22 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen