DBKL benarkan pembangunan tanah rizab, penduduk gesa SPRM siasat


Nabihah Hamid

Peguam Zulhazmi Shariff (berbaju kuning) bersama penduduk dan Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok (hujung kiri) membuat laporan SPRM meminta siasatan dilakukan kepada DBKL berkaitan tanah rizab yang diubah taraf hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 13 Jun, 2017.

PENDUDUK Bandar Tun Razak mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat isu pengurusan projek pembangunan di sebuah padang di Jalan Jujur Tun Razak kerana dibimbangi mempunyai unsur salah guna kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Peguam penduduk, Zulhazmi Shariff mempersoalkan bagaimana DBKL boleh memberi kebenaran merancang tanah berkeluasan 2.1 hektar tersebut meskipun masih berstatus tanah rizab.

“Kami hadir di bangunan SPRM untuk membuat laporan salah laku kemungkinan berlaku di dalam pengurusan pembangunan padang bola sepak Jalan Jujur Tun Razak.

“Kami pohon SPRM jalankan siasatan teliti secara menyeluruh bagaimana kebenaran merancang diberikan pemaju dalam keadaan padang bola masih tanah rizab,” katanya kepada media di bangunan SPRM Kuala Lumpur hari ini.

Zulhazmi mendakwa tarikh DBKL meluluskan kebenaran merancang pembangunan pada 3 Mei 2016, iaitu sewaktu tanah tersebut masih berstatus tanah rizab.

Beliau turut menunjukkan kepada media dokumen yang menunjukkan tarikh tanah tersebut diwartakan pada 24 November 2005 sehingga 22 Disember 2016.

“Tetapi kebenaran merancang 3 Mei 2016 dan proses DBKL diluluskan bersyarat (pada) 18 Oktober 2016. Macamana DBKL boleh proses kebenaran merancang atas tanah rizab bukan tanah DBKL?

“Kami kumpulkan semua dokumen kami ada dan ada lagi dokumen lain jika SPRM perlu untuk mengemukakan dan kita bersedia (berikan),” katanya yang membuat laporan bersama beberapa penduduk Bandar Tun Razak.

Turut hadir beberapa pimpinan DAP dan Amanah antaranya ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok.

April lalu, portal Malaysiakini melaporkan Zulhazmi menunjukkan salinan dokumen yang menunjukkan DBKL memohon menyahwartakan padang itu pada 4 November 2015 bagi pembinaan 640 unit rumah gantian untuk penduduk rumah pangsa Sri Labuan.

Tanah tersebut sudah dijual kepada pemaju, Sinerjuta Sdn Bhd dan akan dibangunkan dalam dua fasa.

Fasa pertama melibatkan pembinaan 823 unit rumah mampu milik termasuk 640 unit ganti bagi penghuni pangsa Sri Labuan dan fasa kedua pula melibatkan 1,015 unit rumah yang akan dijual dengan harga pasaran. – 13 Jun, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen