KETUA badan anti rasuah yang baru, Shukri Abdull mendedahkan beliau berdepan banyak ugutan dan halangan sepanjang menyiasat kes duit RM2.6 bilion yang dimasukkan ke akaun bekas Perdana Menteri Najib Razak termasuk menerima kiriman peluru hidup ke rumahnya.
Menurut Shukri, beliau bagaimanapun tidak mendedahkan ugutan peluru itu sebelum ini, termasuk kepada keluarganya dan pegawainya di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, kerana tidak mahu mereka bimbang.
“Saya hampir mati kerana kes ini,” katanya dalam sidang media pertama di ibu pejabat SPRM hari ini.
Tetapi semua ugutan itu tidak mematahkan semangatnya untuk menyelesaikan kes yang beliau sifatkan “terlalu besar sehingga tidak dapat ditutup.”
Ketua SPRM yang baru itu berkata, beliau juga diugut akan dipecat, diminta bersara awal dan dipindahkan ke bahagian lain sekiranya tidak menghentikan siasatan tersebut dua tahun lalu.
Semasa mula menyiasat kes itu dua tahun lalu, Shukri adalah timbalan ketua pesuruhjaya (Operasi) SPRM sebelum kemudiannya bersara pada Oktober 2016 selepas berdepan pelbagai tekanan berhubung siasatan tersebut.
Menurut Shukri, walaupun ada ugutan demi ugutan, beliau bersyukur kerana mendapat sokongan daripada bekas ketuanya, Abu Kassim Mohamad yang tidak henti-henti memberikan semangat.
“Dia kata kalau nak kena buang, biar kena buang berdua,” katanya.
Kemuncak ugutan itu datang apabila Peguam Negara ketika itu Abdul Gani Patail memaklumkan kepada beliau pihaknya sudah sedia untuk mendakwa Najib di mahkamah.
“Pada Isnin 26 Julai (2015), saya berjumpa dengan Gani Patail pada pukul 6 petang. Dia tanya saya, sudahkah bersedia? Sebagai penyiasat kanan, saya faham (apa maksudnya).
“Esoknya saya dapat maklumat Tan Sri Gani dipecat, berkuatkuasa sehari sebelumnya. Saya juga dapat maklumat bahawa saya akan ditangkap dan dipenjarakan kerana berkomplot hendak menjatuhkan kerajaan,” kata Shukri.
Pentadbiran Najib ketika itu mengumumkan perkhidmatan Gani ditamatkan atas alasan “masalah kesihatan”.
Shukri kemudian menceritakan bagaimana beliau melarikan diri ke Amerika Syarikat – ke Washington dan kemudian ke New York – untuk mendapatkan perlindungan. Katanya, beliau mendapat bantuan daripada seorang kawan di pejabat polis New York City (NYPD) serta dijaga oleh tiga pengawal keselamatan.
Semasa di luar negara, Shukri mendapat maklumat dua pegawai kanannya – Bahri Mohd Zin dan Rohaizad Yaakob – diarah pindah ke Jabatan Perdana Menteri.
Shukri kemudian menceritakan bagaimana beliau mengirim mesej kepada dua menteri kabinet ketika itu, Shahidan Kassim dan Paul Low Seng Kuan mendesak dua pegawainya itu dikembalikan ke SPRM. Pertukaran dua pegawai itu kemudian dibatalkan. Shukri bagaimanapun bersara lebih kurang setahun kemudian. – 22 Mei, 2018.
Komen