TIMBALAN Pendakwa Raya Kanan Kevin Morais yang dibunuh tidak terlibat dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Shukri Abdull.
“Setakat apa yang saya tahu, Kevin tidak terlibat dalam siasatan,” katanya.
“Beliau terlibat dalam kes seorang tentera berpangkat kolonel.”
Pengarang Sarawak Report, Clare Rewcasyle-Brown dalam satu wawancara dengan akhbar The Malay Mail Ahad lepas mengatakan Kevin Morais adalah individu bertanggungjawab membocorkan maklumat mengenai siasatan Jabatan Peguam Negara tentang salah guna dana SRC International milik 1MDB.
Rewcastle-Brown dalam wawancara itu mengatakan terdapat “beberapa sumber boleh dipercayai” memberitahunya yang Morais memberinya maklumat siasatan dan membocorkan kertas pendakwaan terhadap Najib Razak.
“Saya dihubungi secara langsung oleh orang itu (yang menyediakan kertas pendakwaan)..saya rasa ia Kevin Morais,” kata pengarang yang berpangkalan di London itu.
Tiga tahun lalu, abang Morais, Charles membuat pengakuan bersumpah mendakwa adiknya bertanggungjawab merangka kertas pendakwaan terhadap Najib dan beliau sudah menghantar beberapa salin kertas pendakwaan itu kepada Sarawak Report.
Kertas itu didakwa dihantar sehari selepas Najib menyingkirkan Peguam Negara Abdul Gani Patail dan beberapa ahli kerajaannya dalam cubaan mengekang usaha menangkapnya.
Kevin hilang pada 4 September 2015. Mayatnya kemudiannya ditemui dalam sebuah tong yang disimen di Persiaran Subang Mewah, Subang Jaya dua minggu selepas laporan polis dibuat.
Lima tertuduh iatu Dr. R. Kunaseegaran, 55, R. Dinishwaran, 26; A.K. Thinesh Kumar, 25, M. Vishwanath, 28, S. Nimalan, 25, dan S. Ravi Chandaran, 47, didakwa membunuh Kevin Morais dalam perjalanan dari rumah mangsa di Jalan Dutamas 1, Sentul ke No. 1, Jalan USJ 1/6D Subang Jaya antara pukul 7 pagi dan 8 malam, 4 September 2015 dan kes masih dibicarakan.
Minggu lepas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengesahkan kontrak Abdul Gani Patail ditamatkan kerana beliau menyediakan kertas pendakwaan terhadap Najib selepas pihak berkuasa mengesan RM42 juta wang SRC dimasukkan ke dalam akaun peribadinya.
Sarawak Report sebelum ini menerbitkan beberapa kertas siasatan rasmi yang menunjukkan aliran wang itu dalam beberapa laporannya.
Najib masih menafikan wujud salah laku. – 22 Mei, 2018.
Komen