BEKAS Perdana Menteri Najib Razak tidak akan ditahan hari ini, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Shukri Abdull.
“Tak, dia tak akan ditahan hari ini.
“Kami menerima bukti baru dan kami mahu menyoalnya tentang itu,” kata Shukri.
Katanya, Najib sedang disiasat atas tuduhan korupsi berkaitan SRC International.
Shukri dalam sidang media diadakan di Ibu Pejabat SPRM hari ini mengatakan beliau dan ketuanya, Abu Kassim sudah berusaha sehabis baik untuk mendapatkan kembali wang dicuri itu.
Malah mereka juga cuba menjelaskan kepada semua menteri mengenai RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun bank peribadi Najib Razak dan RM42 juta yang hilang dari SRC International.
“Kami tak pernah hilang harapan. Kami cuba buat yang terbaik. RM2.6 bilion dan RM42 juta adalah kes betul. Kami kata singkirkan Najib dan gantikan dia dengan Ahmad Zahid atau Hishamuddin tetapi hanya tiga menteri dengar cakap kami,” kata Shukri.
Tiga menteri yang berani bersuara ketika itu adalah bekas Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, bekas Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah Shafie Apdal dan bekas Timbalan Menteri Kewangan Husni Hanadzlah.
“Sekarang apabila sudah tidak jadi menteri, ada yang telefon saya dan kata ‘kalau saya dengar cakap kamu dulu pasti tidak akan jadi macam ini’ (Barisan Nasional tewas dalam Pilihan Raya Umum ke-14),” katanya. – 22 Mei, 2018.
Komen