MENTERI Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali berkata projek mega kerajaan yang tidak telus dan tidak dimasukkan dalam bajet negara menyumbang kepada peningkatan jumlah hutang negara sehingga RM1 trilion.
Katanya, perkara itu diketahuinya selepas taklimat pasukan Unit Perancang Ekonomi (EPU), komponen penting dalam kementerian baru itu.
“Kos (RM1 trilion) ini memberi kejutan kepada pentadbiran baru tetapi hal ini turut dibincangkan pagi ini tetapi kita harus lihat maklumat terperinci mengenai apa yang menyumbang kepada hutang besar hampir RM 1 trillion itu.
“Sebahagiannya ialah kerana proses (kewangan kerajaan) tidak terbuka, telus dan kebanyakan projek tidak dimasukkan ke dalam perbelanjaan dan bukan di bawah belanjawan negara,” kata beliau kepada wartawan selepas taklimat kira-kira dua jam di Putrajaya hari ini.
Justeru Azmin berkata beliau akan menyemak semula projek mega seperti Projek Rel Pantai Timur (ECRL) dan Projek Rel Kelajuan Tinggi selaras dengan manifesto Pakatan Harapan untuk menyelamatkan ekonomi negara.
“Kami akan menyemak dan merunding semula terma projek berkenaan. Tetapi jika ia masih belum diimplementasi, kami akan tumpu projek yang akan berikan kesan langsung kepada rakyat seperti soal infrastruktur asas di kampung, saluran elektrik dan bekalan air yang perlu diberikan perhatian segera,” kata beliau.
Sementara itu Azmin berkata proses peralihan beliau sebagai menteri besar Selangor akan mengambil masa beberapa minggu kerana menunggu restu daripada Sultan Selangor Sultan Sharafudin Idris Shah serta konsensus daripada pimpinan Pakatan Harapan.
“Proses ini memakan masa. Tak lama. Dalam dua, tiga minggu,” kata beliau.
Jumlah hutang yang mencecah RM1 trilion itu didedahkan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamed semalam yang mengesa agar langkah segera diambil untuk mengatasinya.
Menurutnya, jumlah hutang negara tidak melebihi angka RM300 bilion ketika beliau menjadi perdana menteri antara 1981 hingga 2003 dahulu. – 22 Mei, 2018.
Komen