KERAJAAN baru tidak sepatutnya menyiasat Najib Razak atas dakwaan jenayah yang dilakukan semata-mata mahu memenuhi janji manifesto mereka, kata seorang penyokong bekas perdana menteri itu.
“Saya tak menentang kerajaan. Saya cuma rasa tak adil siasat Najib, tetapi tak siasat jenayah yang dilakukan ketika zaman Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad,” kata penyokong itu yang tidak mahu dinamakan.
“Saya di sini kerana saya rasa Najib jadi mangsa. Jadi adil dalam siasatan. Jika betul-betul nak penuhi manifesto, selesaikan isu peningkatan kos sara hidup. Ikan kembung masih mahal,” kata seorang lagi penyokong.
Sekumpulan 40 orang penyokong Najib berkumpul di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pagi ini untuk memberikan sokongan kepada Najib yang hadir untuk sesi soal siasat.
Kumpulan itu digerakkan oleh bekas pegawai media Kementerian Kewangan dan pemimpin Umno Lokman Adam.
Sebelum itu, Najib tiba di Ibu Pejabat SPRM pada jam 9.41 pagi menaiki Toyota Vellfire. Beliau diiringi dua peronda dan dua kenderaan dipenuhi pegawai keselamatan.
Najib dipanggil SPRM Jumaat lepas untuk sesi soal siasat berkaitan RM42 juta yang dipindahkan bekas anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), SRC International Sdn Bhd ke dalam akaun peribadinya.
Tumpuan siasatan SPRM adalah bagaimana RM42 juta itu masuk ke dalam akaun peribadi Najib dari SRC International.
Ketua Pesuruhjaya SPRM baru, Mohd Shukri Abdul dijangka akan mengadakan sidang media hari ini.
Shukri yang berkhidmat selama 32 tahun sebelum bersara sebagai timbalan ketua pesuruhjaya (operasi) bersama-sama bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM Abu Kassim Mohamed secara tiba-tiba pada Julai 2015 selepas mengatakan ada asas untuk SPRM menyiasat SRC International.
SRC International adalah syarikat tenaga dimiliki Kementerian Kewangan dan anak syarikat 1MDB sebelum diasingkan pada Februari 2012.
Sebelum Najib tiba, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Amar Sighh Ishar Sight juga tiba di pejabat SPRM. Amar mengetahui siasatan polis ke dalam kes 1MDB dan sudah melakukan beberapa serbuan ke atas premis dikaitkan dengan Najib. – 22 Mei, 2018.
Komen