Dr Dzulkefly ingin selesaikan isu bekalan ubat di hospital kerajaan


The Malaysian Insight

DR Dzulkefly Ahmad akan mengkaji semula cara Putarajaya membeli ubatan untuk kemudahan perubatan di negara ini.

Menteri kesihatan baharu itu berkata jika perolehan ubat dan peralatan perubatan boleh ditangani dengan telus, tidak akan ada lagi masalah kekurangan ubat di hospital kerajaan dan klinik.

Dengan moto kerjanya “perkhidmatan kesihatan yang berkualiti, mampu dan selamat”, beliau percaya ia dapat menangani masalah bekalan ubat yang tidak mencukupi dan membawa kepada sistem penjagaan kesihatan yang berkualiti

Dr Dzulkefly berkata kementerian itu tidak mendapat dana mencukupi daripada kerajaan pada kadar 4.5% daripada KDNK apabila garis panduan Organisasi Kesihatan Sedunia (WHO) mencadangkan 6% hingga 7%.

Keadaan itu, katanya, semakin teruk disebabkan kebocoran dalam proses perolehan ubat dan peralatan perubatan.

“Cara tadbir urus kementerian khasnya dalam perolehan ubat-ubatan dan peralatan dibuat melalui sebuah syarikat sahaja atas dasar ia syarikat Melayu Bumiputra. 

“Amalan perolehan yang tidak jelas menyebabkan harga naik - beban kepada kerajaan dan rakyat perlu menanggungnya,” katanya kepada Malaysia Decides hari ini.

Ahli Parlimen Kuala Selangor itu adalah pakar toksikologi yang menerima Ph.D daripada Imperial College (Sekolah Perubatan Hospital St. Mary) di Universiti London, dilantik sebagai menteri kesihatan semalam dalam pentadbiran Pakatan Harapan baru yang dipimpin oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Bekas pensyarah Universiti Sains Malaysia itu berikrar mengkaji semula proses perolehan untuk memastikan ketelusan dan daya saing kepada rakyat dan kerajaan.

Bapa daripada tujuh anak dan datuk kepada 13 cucu ini berkata beliau juga akan mengkaji isu penempatan yang tidak mencukupi bagi doktor pelatih - pegawai perubatan yang menamatkan latihan mereka tetapi tidak dapat mendapatkan penempatan untuk perkhidmatan mandatori di hospital kerajaan.

Isu ini sejak kebelakangan dilaporkan berpuncara daripada lebihan bekalan graduan perubatan di negara ini, tetapi Dr Dzulkefly mempunyai pandangan berbeza mengenai perkara itu.

“Nisbah doktor-pesakit di Malaysia adalah 1:600, lebih tinggi daripada standard WHO 1:400 untuk negara,” katanya.

“Kita kekurangan 16,000 katil hospital di seluruh negara sekarang. 

“Kita kena iktiraf belanja untuk sektor kesihatan ini berkurangan daripada yang sepatutnya. Jadi kena selesaikan masalah ini dahulu. 

“Pada pandangan saya, ia okay mempunyai banyak sekolah perubatan kerana kita tidak mempunyai doktor mencukupi. Ia adalah kualiti penjagaan kesihatan yang perlu kita teliti.”

Mengenai pelantikannya sebagai menteri kesihatan, ahli politik Amanah berkata tidak menjangka dipilih oleh Dr Mahathir dan menganggapnya sebagai “kejutan yang menyenangkan” sambil menambah “PM mesti mempunyai sebab mengapa saya terpilih”.

“Apa yang pasti adalah Dr Mahathir mahu seseorang yang boleh menilai sistem penjagaan kesihatan di peringkat makro.”

Ditanya apa yang paling penting dalam senarai tugasnya selepas mengangkat sumpah, Dr Dzulkefly berkata beliau mahu bermula dengan menjadi pendengar yang baik sebelum membuat sebarang janji.

“Saya perlu mendengar taklimat oleh ketua pengarah kesihatan dan pegawai kanannya sebelum membuat sebarang komitmen.

“Pencapaian Kementerian Kesihatan sehingga hari ini juga harus dihormati dan diakui,” katanya. – 22 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen