UGUTAN untuk mendakwa Lim Guan Eng atas tuduhan rasuah tidak menghalang Lim Kit Siang untuk meneruskan kerjasama dengan Dr Mahathir Mohamad pada 2016, dedah penasihat DAP itu kepada Malaysia Decides.
Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu mengatakan ugutan itu disampaikan kepadanya pada hujung 2016 apabila beliau dan Dr Mahathir mula membentuk kerjasama politik termasuk dengan PKR dan Amanah yang kemudiannya menang pilihan raya 9 Mei lalu.
“Jika awak tak bekerjasama dengan Dr Mahathir Mohamad, dakwaan terhadap Guan Eng akan digugurkan,” katanya apabila ditemui Malaysia Decides.
Anak lelakinya, Guan Eng yang ketika itu merupakan ketua menteri Pulau Pinang kemudiannya didakwa atas tuduhan rasuah berkaitan pembelian sebuah banglow. Guan Eng kini merupakan menteri kewangan dalam kerajaan PH pimpinan Dr Mahathir.
Bagaimanapun, Kit Siang enggan mendedahkan siapa yang memberikan ugutan itu dan bagaimana ia disampaikan kepadanya.
“Bagi saya ia (dakwaan) terang-terangan salah.
“Dakwaan terhadap Guan Eng bukan sekadar pendakwaan terpilih tetapi pendakwaan bermotif politik,” tambahnya.
Guan Eng mengangkat sumpah sebagai menteri kewangan semalam, pada hari sama kesnya ditangguh kepada 30 Julai depan kerana pasukan peguamnya sedang menyiapkan permohonan meminta kes itu digugurkan atas alasan pendakwaan politik.
Guan Eng dibicarakan atas dua pertuduhan rasuah difailkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 30 Jun 2017, melibatkan pertukaran status sebidang tanah pertanian kepada kediaman dan didakwa membeli sebuah banglow pada harga RM2.8 juta, harga yang dipercayai di bawah nilai sebenar pasaran.
Ahli perniagaan, Phang Li Khoon, 46, juga mengaku tidak bersalah bersubahat dengan Guan Eng dalam pembelian banglow itu. – 22 Mei, 2018.
Komen