DoJ teruskan tindakan terhadap 1MDB, harap dapat kerjasama Putrajaya


The Malaysian Insight

JABATAN Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) akan terus menegakkan keadilan bersabit skandal penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan berharap dapat bekerjasama dengan pihak berkuasa penguatkuasa undang-undang di Malaysia, kata jabatan itu.

“Amerika Syarikat terus berusaha melaksanakan keadilan bagi pihak mangsa berkenaan dengan siasatan yang berkaitan dengan 1 Malaysia Development Berhad.

“Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat berharap dapat bekerja bersama pihak berkuasa penguatkuasa undang-undang Malaysia dalam menyiasat transaksi yang berkaitan dengan 1MDB,” kata jabatan itu dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Putrajaya di bawah pentadbiran Najib Razak sebelum ini mendakwa DoJ tidak pernah membuat permohonan secara rasmi kepada Pejabat Peguam Negara untuk mendapatkan maklumat lanjut berhubung siasatannya.

Peguam Negara Mohamed Apandi Ali yang kini sedang bercuti selepas peralihan kuasa kerajaan persekutuan, sebelum ini, menyifatkan tindakan sivil yang dimulakan oleh DoJ berhubung 1MDB “bermotifkan politik.”

DoJ memulakan tindakan di mahkamah sejak 2016 untuk mendapatkan aset bernilai lebih AS$1.7 bilion yang dipercayai diperolehi hasil dana yang diseleweng daripada 1MDB.

Ia percaya terdapat lebih daripada AS$4.5 bilion telah dipindahkan dari 1MDB dan digubah secara haram melalui rangkaian syarikat cangkerang dan akaun bank di beberapa tempat termasuk di Amerika Syarikat.

“Jabatan Kehakiman komited untuk memastikan bahawa Amerika Syarikat dan sistem kewangannya tidak terancam oleh individu-individu korup dan kleptokrat yang berusaha menyembunyikan kekayaan mereka.

“Sekiranya mungkin, aset yang dipulih semula akan digunakan untuk memberi faedah kepada mereka yang terjejas oleh perbuatan korupsi dan penyalahgunaan jawatan,” katanya kenyataan itu lagi.

Malaysia memulakan pusingan baru siasatan terhadap skandal 1MDB setelah Pakatan Harapan mengambil alih Putrajaya selepas Pilihan Raya Umum ke-14 yang baru lalu.

Bekas Perdana Menteri Najib Razak pagi ini dipanggil ke ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk dirakamkan kenyataannya berhubung sejumlah wang sebanyak RM42 juta yang dimasukkan ke akaun peribadinya dari SRC International Sdn Bhd, bekas anak syarikat 1MDB, antara Disember 2014 hingga Februari 2015.

Pentadbiran Dr Mahathir, melalui Majlis Penasihat Kerajaan yang dipengerusikan oleh Daim Zainuddin, menubuhkan dua jawatankuasa bagi meneliti dan menyiasat pelbagai aspek berhubung dengan 1MDB.

Sebuah jawatankuasa lima anggota dipengerusikan bekas Peguam Negara Abu Talib Othman. Ia dianggotai rakan kongsi Risk Assurance Services PwC Nik Shahrizal Sulaiman; rakan kongsi kanan Naqiz & Partners Syed Naqiz Shahabuddin Syed Abdul Jabbar; penasihat kanan Lembaga Perkhidmatan Kewangan Indonesia Faris Rabidin dan Cynthia Gabriel dari Pusat Membasmi Rasuah dan Kronisme.

Jawatankuasa ini difahamkan akan mencari jalan mendapatkan semula dana yang didakwa diseleweng dari 1MDB.

Sebuah jawatankuasa lagi dibentuk semalam bagi melancarkan gerak kerja penyiasatan ke atas 1MDB. Ia dipengerusikan oleh empat individu yang sebelum ini terlibat menyiasat skandal berkenaan tetapi kemudiannya disekat atau dipecat oleh pentadbiran Najib, dan disertai pelbagai agensi berkenaan.

Mereka ialah bekas Peguam Negara Abdul Gani Patail; bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM Abu Kassim Mohamad dan bekas Timbalannya Mohd Shukri Abdull serta bekas Timbalan Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman Abdul Hamid Bador.

Shukri semalam juga memulakan tugas sebagai ketua pesuruhjaya SPRM yang baru, menggantikan Dzulkifli Ahmad yang dipindahkan kembali ke Pejabat Peguam Negara. – 22 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen