Kelantan paling ramai lantikan politik dalam perkhidmatan awam


The Malaysian Insight

Kelantan mempunyai jumlah teramai “lantikan politik”, membentuk hampir 20% daripada 17,000 penjawat awam yang diambil bekerja menerusi kerajaan terdahulu sebagai ganjaran atas kesetiaan, atau ditempatkan di jabatan strategik untuk bertindak sebagai proksi politik.

Sumber berkata Kelantan mempunyai 3,250 lantikan politik – kerana Barisan Nasional (BN) berharap untuk menawan negeri pantai timur itu daripada genggaman PAS. Mereka bagaimanapun, gagal berbuat demikian.

“Mereka mahu ada seramai mungkin orang yang rapat dengan akar umbi dan buat kerja untuk mereka menerusi ketua kampung dan beberapa jawatan kecil lain di seluruh negeri itu.

“Dengan harapan ia cukup bagi mendapatkan undi untuk BN tetapi mereka gagal,” kata sumber yang rapat dengan parti itu kepada Malaysia Decides.

Bukan saja gabungan itu gagal menawan Kelantan, BN juga kalah pada PRU14, 9 Mei lalu dan hilang kuasa persekutuan kepada Pakatan Harapan (PH) yang diketuai bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Kekalahan yang mengejutkan itu menyebabkan Najib Razak meletakkan jawatan presiden Umno dan pengerusi BN.

Beberapa hari selepas Dr Mahathir dilantik sebagai perdana menteri, beliau mengumumkan kontrak 17,000 berkenaan akan dihentikan bagi mengurangkan perbelanjaan dan pembaziran kerajaan.

Beliau berkata penjawat awam kanan yang disyaki melakukan salah laku juga akan diminta bercuti sehingga selesai siasatan.

Ketika ramai yang bimbang kerajaan baharu itu akan membuang sejumlah penjawat awam dan memberhentikan semua staf kontrak, Dr Mahathir berkata pasukannya akan menyemak semula kakitangan bukan politik sebelum mengambil tindakan pemberhentian.

Dalam ucapan sulungnya kepada penjawat awam di Putrajaya semalam, perdana menteri berusia 92 tahun itu menggesa penjawat awam memberi fokus kepada membina semula negara dengan mematuhi sistem pentadbiran yang diguna pakai.

“Pentadbiran yang baik perlu dilakukan oleh mereka yang betul-betul mahu berkhidmat kepada negara ini,” katanya. – 22 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen