TIDAK sampai dua minggu, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sudah membentuk Kabinet baharu, memotong cukai barang dan perkhidmatan (GST), menubuhkan jawatankuasa untuk mengkaji semula perbelanjaan kerajaan serta membuka semula siasatan terhadap dakwaan penyelewengan di 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Pemimpin tertua di dunia itu bertindak seperti seolah-olah beliau tidak mempunyai masa untuk dibazirkan.
“Kelihatannya seperti Tun Dr Mahathir ingin mengambil semua wang yang dicuri 1MDB dalam 100 hari,” kata Awang Azman Awang Pawi, profesor bersekutu di Universiti Malaya, kepada Bloomberg.
“Ia kelihatan terlalu bercita-cita tinggi tetapi itulah cara Dr Mahathir.”
Penganalisis mengatakan tindakan tergesa-gesa itu mungkin disebabkan usianya, tetapi juga kerana Dr Mahathir bertujuan untuk memberi jaminan kepada rakyat yang Pakatan Harapan (PH) tidak pernah berkuasa sebenarnya boleh mentadbir dengan berkesan.
“Dalam perbualan kami beberapa hari sejak pilihan raya, apa yang kami tekankan adalah keperluan mendesak untuk menghargai kepercayaan rakyat dan menunaikan janji-janji kami - kunci untuk mewujudkan legitimasinya,” kata A. Kadir Jasin, ketua komunikasi bagi Majlis Penasihat Kerajaan.
“Beliau perlu menunjukkannya, ‘lihat, kami melakukan perkara yang betul di sini, elemen utama ekonomi akan dijaga’,” katanya kepada agensi berita itu.
Dr Mahathir sudah berjanji untuk menyerahkan kuasa kepada penasihat PKR, Anwar Ibrahim, yang dibebaskan dari penjara dan diampuni minggu lalu kerana sabitan liwat.
“Kita perlu terima hakikat, beliau berumur 92 tahun dan tidak banyak masa lagi untuk melakukan apa sahaja yang ingin dilakukannya,” kata Joseph Chinyong Liow, dekan Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam di Singapura.
“Dr Mahathir sendiri berkata beliau akan berkhidmat, paling lama, selama dua tahun. Justeru, tidak mengejutkan jika beliau memulakan segala kerja dengan kadar segera.”
Wan Saiful Wan Jan, timbalan pengerusi biro dasar Bersatu, berkata satu-satunya perkara yang menghalang Dr Mahathir bertindak dengan kadar segera terhadap pembaharuannya adalah kerana terpaksa berpegang kepada komitmen dasar yang dibuat semasa kempen.
Beliau berkata Dr Mahathir terpaksa membatalkan rancangan untuk menjadikan dirinya menteri pendidikan, agar tetap selaras dengan manifesto PH yang pemimpin tertinggi tidak sepatutnya memegang lebih daripada satu portfolio.
Namun, Wan Saiful berkata Dr Mahathir tidak berniat bertindak perlahan.
“Ini adalah Dr Mahathir yang sangat berbeza yang kita lihat, yang bersungguh-sungguh mahu membetulkan trajektori Malaysia,” katanya kepada Bloomberg. – 22 Mei, 2018.
Komen