BN kalah sebab senang hati, tidak sedar perubahan


The Malaysian Insight

BEKAS menteri Syed Hamid Albar mengingatkan Barisan Nasional (BN) bahawa kekalahan parti itu dalam pilihan raya umum lalu bukan disebabkan fitnah.

Sebaliknya kekalahan itu disebabkan parti tersebut ditolak oleh rakyat dan terlalu memandang rendah pengaruh Dr Mahathir Mohamad, katanya dipetik daripada Berita Harian.

Selain itu, BN juga kalah kerana mengalami sindrom penafian dan gagal menangkis serangan persepsi, katanya.

“Apa yang saya maksudkan ialah BN tidak boleh salahkan sesiapa. Ini masa untuk muhasabah sebab apa kalah. Ini bukan faktor ekonomi atau fitnah yang menyebabkan keputusan ini.

“Mereka (rakyat) hendak tukar. Saya pernah menulis mengenai gelombang perubahan ini dan ia dirasai tetapi saya tidak faham apabila BN nampak senang hati dan seperti tidak sedar perubahan,” katanya kepada akhbar itu.

Beliau mengulas kenyataan bekas presiden Umno Najib Razak yang mendakwa kekalahan BN pada PRU14 disebabkan fitnah pembangkang.

Bekas perdana menteri itu dalam ucapannya kepada penyokongnya Ahad lalu berkata pembangkang menyerang BN menggunakan isu peribadi dan menabur fitnah serta kebencian menyebabkan parti mewakili kaum Melayu terbesar itu tumbang.

Namun Syed Hamid berkata percaya rakyat menolak BN kerana tindakan kerajaan itu yang cuba merahsiakan banyak perkara.

Bekas pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat itu berkata BN perlu menerima kekalahan selain perlu belajar menjadi pembangkang.

“Sekarang BN sudah hancur lebur. Najib pun sudah letak jawatan. BN akan jadi pembangkang dan perlu tahu peranan sebagai pembangkang.

“Selama 61 tahun jadi kerajaan, sekarang jadi pembangkang. Perlu perubahan mental dan psikologi,” katanya. – 22 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen