40 penyokong Najib berhimpun di luar pejabat SPRM


The Malaysian Insight

SEKUMPULAN kira-kira 40 orang berhimpun bagi menyatakan sokongan ke atas bekas perdana menteri Najib Razak yang tiba bagi siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pagi ini.

Kumpulan berkenaan berhimpun di luar bangunan suruhanjaya tersebut dengan diketuai pemimpin Umno dan juga bekas pegawai Najib, Lokman Noor Adam.

Najib tiba di pejabat SPRM pada kira-kira jam 10 pagi ini untuk disoal siasat berhubung dana RM42 juta dalam akaun bank peribadinya.

Penyiasat percaya dana yang disalurkan antara Disember 2014 dan Februari 2015 itu berasal daripada SRC International, bekas anak syarikat pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

SRC diwujudkan pada 2011 oleh kerajaan Najib untuk meneruskan pelaburan luar negara dalam sumber tenaga, dan merupakan unit 1MDB sehingga ia dipindahkan ke Kementerian Kewangan pada 2012.

Najib diiringi oleh pasukan pembelanya yang diketuai bekas peguam bela II Mohd Yusof Zainal Abiden.

Siasatan itu mungkin berlanjutan sepanjang hari. – 22 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen