Najib akhirnya sedar dan lantik peguam jenayah terkemuka


The Malaysian Insight

TINGGAL tunggu masa saja sebelum Najib Razak menggantikan pasukan peguamnya dengan dua lelaki yang ada kemahiran dalam mengendalikan kes jenayah berprofil tinggi.

Malaysia Decides difahamkan bahawa bekas perdana menteri itu mula membuat rancangan untuk menggantikan Harpal Singh Grewal dengan Yusof Zainal Abiden dan M Puravalen semalam dan melaksanakan perubahan itu apabila dua peguam jenayah senior itu bersetuju untuk membelanya.

Najib akhirnya sedar bahawa kerajaan memang sedang bergerak pantas untuk mendakwanya atas kesalahan jenayah berkaitan pindahan RM42 juta dari SRC International ke akaun bank peribadinya.

Walaupun mahir di mahkamah, Harpal Singh bukan peguam jenayah. Najib juga bimbang berkenaan sesetengah kenyataan yang dibuat oleh pasukan peguam itu sejak beberapa hari lalu.

Yusof, bekas majistret dan hakim mahkamah sesyen, juga bekas ketua pendakwa raya dalam kes liwat kedua Anwar Ibrahim.

Beliau juga sangat berpengalaman sebagai ketua pendakwa di Pejabat Peguam Negara, sebelum dilantik sebagai peguam cara II.

Yusof menjadi peguam sejak enam tahun lalu dan salah seorang daripada peguam yang mewakili Anwar dalam pertuduhan pada Bersih 3.0.

Beliau juga pernah bekerjasama dengan Puravalen, seorang peguam jenayah senior.

Puravalen atau dikenali sebagai Valen dalam kalangan rakan-rakannya dilantik oleh Rosmah Mansor beberapa hari lalu. Tidak jelas sama ada beliau akan terus mewakili Rosmah, memandangkan ada kemungkinan kerajaan mendakwanya dan sesetengah pertuduhan itu berkait dengan suaminya. – 22 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen