INDIVIDU yang boleh menyambungkan semua titik tentang bagaimana kira-kira RM42 juta keluar dari syarikat pelaburan negara ke akaun bank peribadi Najib Razak, disoal siasat oleh penyiasat badan pencegah rasuah semalam.
Berita tentang Shamsul Anwar Sulaiman dipanggil oleh penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu boleh menjadi mimpi ngeri kepada bekas perdana menteri yang sedang bersiap sedia untuk berdepan soalan dan kemungkinan ditahan apabila beliau tiba di pejabat suruhanjaya itu pagi ini.
Shamsul ialah bekas pengarah urusan Insan Perdana, satu syarikat yang menjalankan program tanggungjawab korporat sosial untuk satu yayasan yang berkaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Penyiasat percaya bahawa SRC International memindahkan RM42 juta ke dalam akaun bank Najib antara Disember 2014 dan Februari 2015 menerusi anak-anak syarikatnya, Ihsan Perdana dan Gandingan Mentari.
Pendakwa sedang cuba untuk menentukan bagaimana Najib menyalahgunakan kedudukannya sebagai menteri kewangan untuk memastikan SRC International memperoleh pinjaman daripada agensi kerajaan lain, dan akhirnya menyalurkan sebahagian daripada wang itu ke akaun peribadinya menerusi beberapa siri transaksi kewangan.
The Straits Times Singapore melaporkan membina kes terhadap Najib berkenaan 1MDB boleh mengambil masa beberapa bulan, memandangkan transaksi yang terbabit sangat kompleks.
Bagaimanapun, kes berkaitan SRC International lebih mudah kerana kebanyakan siasatan sudah lengkap pada 2015 sebelum peguam negara ketika itu, Abdul Gani Patail disingkirkan.
SRC International ditubuhkan pada 2011 sebagai anak syarikat 1MDB. Modal benih dalam bentuk pinjaman RM4 bilion diperoleh daripada wang pesara penjawat awam iaitu Kumpulan Wang Persaraan (KWAP). – 22 Mei, 2018.
Komen