BN Perlis cadang 3 nama calon menteri besar


The Malaysian Insight

BARISAN Nasional Perlis mencadangkan tiga nama sebagai calon menteri besar untuk dipertimbangkan oleh Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail, kata pemimpin kanan BN negeri, Ismail Kassim.

Tiga calon itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tambun Tulang Ismail Kassim; Adun Santan, Azizan Sulaiman dan menteri besar penggal sebelum ini, Azlan Man yang juga Adun Bintong.

Nama-nama itu disahkan oleh Ismail ketika dihubungi Malaysia Decides semalam.

“Setakat ini ada tiga nama yang diberikan kepada Tuanku, termasuk menteri besar terdahulu.

“Kesemua 10 Adun BN yang menang pun telah berjumpa dengan Tuanku, termasuk saya… sudah dua kali saya mengadap Tuanku.

“Jadi apa pun, saya serah pada kebijaksanaan Tuanku untuk memilih kerana Tuanku ada pendiriannya sendiri,” katanya.

Ismail diminta mengulas kemelut pelantikan menteri besar Perlis yang sehingga ini masih belum diputuskan, hampir dua minggu selepas Pilihan Raya Umum ke-14 selesai.

BN mempertahankan kedudukan di Perlis apabila menang 10 daripada 15 kerusi negeri, sementara PKR menang tiga kerusi dan PAS dua kerusi.

Perlis antara tiga negeri yang kekal di bawah BN selepas PRU14, selain Pahang dan Sarawak (yang mengadakan pilihan raya negeri pada 2016).

Pengerusi BN negeri Shahidan Kassim sebelum ini mengumumkan pihaknya memajukan nama Ismail, yang juga adiknya, sebagai calon menteri besar yang baharu.

Pelantikan itu bagaimanapun tertangguh selepas Raja Perlis bertitah memohon masa untuk mengenali calon berkenaan terlebih dulu sebelum memutuskan pemimpin yang akan dilantik menjawat kerusi nombor satu di negeri itu.

Laporan media semalam menyebut pemangku pengerusi BN pusat, Ahmad Zahid Hamidi dijadual mengadap Raja Perlis hari ini bagi membincangkan kedudukan menteri besar negeri itu.

Ismail bagaimanapun memberitahu Malaysia Decides beliau tidak maklum mengenai pertemuan tersebut.

Dalam pada itu, Ismail menafikan dakwaan kononnya calon menteri besar Perlis belum mengangkat sumpah kerana BN ada rundingan dengan Pakatan Harapan untuk membentuk kerajaan campuran.

Katanya, tidak ada keperluan untuk BN Perlis berbuat demikian kerana parti itu ada kerusi yang cukup untuk membentuk kerajaan negeri.

“Buat masa sekarang tidak ada keperluan seperti itu,” katanya, merujuk kepada majoriti dua pertiga yang dimenangi oleh BN di Perlis dalam PU14.

Namun Ismail tidak menafikan ada kemungkinan kerjasama itu berlaku sekiranya ada permintaan daripada Putrajaya kerana pada masa ini Perlis bergantung 45% daripada peruntukan kerajaan pusat, yang kini diperintah oleh PH.

Dua hari selepas PRU14, Shahidan juga menafikan ada rundingan antara BN negeri dengan PH untuk membentuk kerajaan campuran. – 22 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen