POLIS malam tadi selesai mengira sebahagian wang tunai yang disita dari tiga unit apartmen mewah milik keluarga Najib Razak dan seorang taikun hartanah kenalan bekas perdana menteri dan isterinya, Rosmah Mansor, lapor Berita Harian.
Proses pengiraan sejak 10 pagi semalam melibatkan 11 daripada 26 beg bagasi berisi wang tunai termasuk mata wang asing dari beberapa negara, kata polis.
Proses pengiraan sehingga hampir 11 jam itu dilakukan di ibu pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.
Proses itu dilaporkan mengambil masa yang lama kerana pasukan menyiasat turut merekodkan nombor siri setiap keping wang tunai berkenaan untuk proses siasatan selanjutnya.
Sebanyak 11 beg berisi wang tunai yang selesai dikira itu kemudian dibawa ke Bank Negara Malaysia, kata laporan itu, difahamkan untuk dikira semula dan dijumlahkan.
Baki 15 beg yang belum sempat dikira pula dipindahkan dengan kawalan ketat Unit Tindakan Khas (UTK), dipercayai dibawa ke Bukit Aman.
Beg-beg tersebut adalah sebahagian daripada 72 beg bagasi yang dirampas oleh polis dalam serbuan ke pangsapuri mewah di tengah Kuala Lumpur minggu lalu.
Sebuah bank dilaporkan akan membantu proses menilai semua barangan kemas dan jongkong emas yang dirampas dalam serbuan minggu lalu.
Pengarah JSJK Amar Singh juga dipetik mengesahkan perkara berkenaan tetapi enggan mendedahkan nilai rampasan kerana tidak mahu ada sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan.
Jumaat lepas, polis merampas 284 kotak berisi beg tangan dan jam tangan berjenama mewah serta barangan kemas, dan 72 beg bagasi berisi wang tunai dari tiga unit kondominium mewah berkenaan.
Polis ketika itu tidak mendedahkan nilai rampasan dalam siasatan yang dimaklumkan ada kaitan dengan skandal 1Malaysian Development Berhad (1MDB). – 22 Mei, 2018.
Komen