KETUA Pemuda Bersatu Syed Saddiq Abdul Rahman bakal dilantik sebagai menteri belia dan sukan dalam Kabinet Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, kata sumber.
Sumber Pakatan Harapan (PH) berkata, ahli Parlimen Muar itu dipertimbangkan kerana dilihat mampu menarik sokongan golongan muda kepada kerajaan dan mampu menyaingi populariti bekas menteri belia dan sukan Khairy Jamaluddin.
“Dalam PH Syed Saddiq merupakan fenomena kepada golongan muda, dan dijangkakan mampu menandingi populariti ketua Pemuda Umno Khairy semasa memegang jawatan itu.
“Sebab itu perdana menteri tiada masalah untuk melantik Syed Saddiq. Dia juga ketua Pemuda Bersatu dan antara pengasas parti itu,” kata pemimpin tertinggi PH itu kepada Malaysia Decides, dengan syarat tidak dinamakan.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, Syed Saddiq yang pertama kali bertanding menewaskan bekas timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri Razali Ibrahim dan calon PAS Abdul Aziz Talib dengan majoriti 6,953 undi.
Selepas memenangi PRU14, lulusan Sarjana Muda Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia itu menjelaskan penglibatannya dalam politik bukanlah untuk mendapatkan kedudukan tetapi untuk membela anak muda.
Bagaimanapun, desas desus tentang Dr Mahathir bakal melantik Syed Saddiq yang juga pendebat terbaik Asia sebagai menteri belia dan sukan menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan pemimpin muda PH.
Pengarah Strategi Pilihan Raya DAP Dr Ong Kian Ming menulis dalam akaun Twitter rasminya tentang Syed Saddiq yang dirasakan masih belum layak menjadi menteri belia dan sukan.
“Dia seorang yang berkarisma, bertenaga, banyak idea dan boleh menyesuaikan diri bersama golongan muda dengan baik.
“Akan tetapi lebih baik pada masa ini beliau memegang jawatan timbalan menteri dan belajar daripada seseorang yang lebih berpengalaman,” kata ahli Parlimen Bangi itu melalui akaun Twitter @imokman.
Ong berkata pada pandangannya lebih baik Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar dilantik sebagai menteri belia dan sukan.
“Beliau akan menjadi inspirasi kepada wanita muda termasuk yang dalam dunia sukan.
“Walaupun kita pernah mempunyai wanita sebagai menteri belia dan sukan sebelum ini, kita tidak dapat mengingati legasi peninggalannya sepanjang berkhidmat,” kata Ong, merujuk kepada Azalina Othman Said yang pernah memegang jawatan itu.
Anwar Ibrahim dalam satu wawancara dengan stesen televisyen Al-Jazeera berkata anak perempuannya itu tidak akan memegang jawatan dalam Kabinet walaupun merupakan pemimpin kanan dalam parti yang kini membentuk kerajaan.
Langkah itu bagi mengelak orang menanggap kerajaan baru ini sekadar “urusan keluarganya”, kata Anwar, merujuk kepada isterinya Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga timbalan perdana menteri dan menteri pembangunan wanita dan kebajikan masyarakat dalam Kabinet Dr Mahathir. – 22 Mei, 2018.
Komen