Selepas Najib, ramai lagi akan ditahan kerana skandal 1MDB


The Malaysian Insight

NAJIB Razak akan menjadi individu pertama yang akan disoal siasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Namun bekas perdana menteri itu bukanlah orang terakhir yang akan dipanggil untuk disoal siasat, kata sumber yang rapat dengan kes berkenaan.

Pihak penyiasat percaya kecurian berbilion ringgit daripada syarikat pelaburan negara sepanjang tempoh lima tahun itu didalangi sekutu Najib dan ahli kewangan, Low Taek Jho dan kelompok subahatnya.

Ini termasuk bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Helmi, pengarah eksektuif Casey Tang dan peguam Jasmine Loo.

Turut dalam senarai individu yang paling kehendaki adalah Tan Kim Loong atau Eric Tan, sekutu Low, dan juga bekas pegawai firma Abu Dhabi Khadem Abdulla al-Qubaisi serta Aabar Mohamed Ahmed Badawy Al-Husseiny.

Anak tiri Najib, Riza Aziz yang juga pemilik syarikat perfileman Amerika Syarikat Red Granite turut dikehendaki kerana didakwa menerima wang berjumlah AS$238 juta yang dipercayai dicuri daripada dana 1MDB.

Tony Pua, ahli Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang menyiasat 1MDB berkata individu tersebut harus ditangkap ekoran peranan mereka dalam skandal terbabit.

Tujuh individu berkenaan didakwa oleh Jabatan Keadilan AS (DoJ) dan badan anti rasuah, Centre to Combat Corruption and Cronyism (C4), sebagai pihak yang membantu Low menyelewengkan berbilion ringgit dana 1MDB.

Individu ini, yang kebanyakan tinggal di luar negara, berkemungkinan menjadi sasaran pihak berkuasa Malaysia memandangkan negara ini sedang berusaha mendapatkan semula wang yang dicuri.

DoJ berkata sejumlah AS$4.5 bilion diselewengkan daripada 1MDB menerusi urus niaga kompleks yang membabitkan enam negara.

Kajian C4 mendapati 1MDB kerugian kira-kira RM39 bilion ekoran penipuan dan salah urus tadbir.

Putrajaya menubuhkan dua jawatankuasa meneliti skandal 1MDB.

Salah satu jawatankuasa itu terdiri daripada bekas peguam negara Abu Talib Othman, rakan kongsi Risk Assurance Services PwC Nik Shahrizal Sulaiman, rakan kongsi kanan Naqiz & Partners Syed Naqiz Shahabuddin Syed Abdul Jabbar, Penasihat Kanan Otoritas Jasa Keuangan Indonesia Faris Rabidin dan pengarah C4 Cynthia Gabriel.

Semalam Putrajaya mengumumkan penubuhan satu lagi pasukan khas yang diketuai bekas peguam negara Abdul Gani Patail, Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Shukri Abdull, bekas ketua pesuruhjaya SPRM Abu Kassim Mohamed dan bekas timbalan pengarah Cawangan Khas Abdul Hamid Bador.  

Difahamkan yang jawatankuasa diketuai Abu Talib akan mencari cara mendapatkan semula dana yang digunakan untuk membeli hartanah mewah di AS.

Sementara itu, jawatankuasa yang diketuai Gani pula akan menumpukan usaha membawa pihak yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.

Kedua-dua jawatankuasa tersebut akan bertukar nota siasatan dengan DoJ yang siasatannya mendedahkan pemindahan palsu dana 1MDB berlaku melalui tiga fasa iaitu PetroSaudi-Good Star, Aabar-BVI dan Tanore.

Shahrol, Tang dan Loo merupakan bekas pekerja 1MDB yang didakwa terlibat dalam fasa PetroSaudi-Goodstar di mana AS$1.03 bilion dipindahkan daripada 1MDB ke akaun Bank Switzerland yang dikawal Good Star Limited, iaitu firma yang dimiliki Low.

Siasat PAC ke atas 1MDB turut mencadangkan agar Shahrol disoal siasat.

Sementara itu, Khadeem dan Mohamed Ahmad Badawy, adalah watak utama dalam fasa Aabar-BVI, ketika kira-kira AS$1.367 bilion diseleweng daripada 1MDB ke entiti British Virgin Islands yang dikenali sebagai Aabar Investments PJS Limited (Aabar-BVI).

Aabar-BVI sengaja diberikan nama seakan-akan Aabar Investments PJS Limited, anak syarikat sah International Petroleum Investment Corporation (IPIC), firma yang dimiliki Emiriah Arab Bersatu.

Khadeem dan Mohamed Ahmad Badawy adalah pegawai di Aabar Investments PJS Limited.

Dana dari Aabar-BVI kemudiannya dipindahkan ke akaun bank Singapura yang dikawal Tan.

Aabar-BVI turut memindahkan AS$238 juta ke sebuah akaun bank Singapura di BSI Singapura dimiliki Red Granite Capital.

Ahli ekonomi politik Prof Edmund Terence Gomez turut mencadangkan agar siasatan dijalankan terhadap pengarah 1MDB Lodin Wok Kamaruddin dan Ismee Ismail.

Kedua-dua mereka adalah dalang di sebalik kerugian besar firma berkenaan yang dianggarkan C4 berjumlah RM39 bilion. – 22 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen