SEMUA peringkat jawatan dalam Umno mesti dipertandingkan pada pemilihan akan datang, kata Umno Johor hari ini.
Bernama melaporkan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor Mohamed Khaled Nordin sebagai berkata keputusan itu dicapai semasa mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Johor yang diadakan petang ini.
“Kita (UMNO Johor) setuju semua peringkat jawatan mesti dipertandingakan. Pada kita, ini peluang bagi UMNO untuk lakukan pembaharuan dan mempamerkan kesungguhan untuk berubah,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat berkenaan.
“Kita hendak supaya dia (yang dipilih) bawa soal perubahan dan pembinaan memulihkan semula UMNO secara besar besaran…dari segi struktur organisasi, perjalanan, tawaran kepada rakyat Malaysia dan orang Melayu. Ini yang kita bincang dan capai hari ini.”
Beliau turut mengumumkan Adun Benut dan Ketua Umno Bahagian Pontian Hasni Mohamad sebagai ketua pembangkang Barisan Nasional (BN) di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.
Beliau berharap kerajaan negeri Pakatan Harapan akan memberikan layanan terbaik kepada Hasni.
“Seperti sedia maklum, Pakatan Harapan mahu sistem dua parti dalam negara, oleh demikian, kami harap mereka mengiktiraf dan memberi layanan kepada Ketua Pembangkang dari BN,” katanya. – 21 Mei, 2018.
Komen