MOHAMED Elias Abu Bakar dilantik sebagai setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang baru berkuatkuasa hari ini.
SPR, dalam satu kenyataan, berkata Elias, 58, mengantikan Abdul Ghani Salleh, yang bersara wajib pada 10 Mei lepas.
“SPR berharap dengan pengalaman beliau yang luas dalam perkhidmatan awam, pelantikan Mohamed Elias akan dapat memimpin urus setia SPR dalam merancang, menyelaras dan melaksanakan dasar-dasar yang ditetapkan dengan cekap dan berkesan,” kata kenyataan itu.
Elias menyertai perkhidmatan awam pada 1 Julai 1983, dan pernah menyandang jawatan Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) di Kementerian Sumber Manusia, mulai 15 Februari tahun lepas hingga semalam.
Elias turut pernah menyandang jawatan antaranya pengarah Bahagian Pembangunan Perniagaan, pengarah Penyelidikan dan Dasar, pengarah Bahagian Sumber Manusia Kepenggunaan dan Pengurusan di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan mulai 24 Mac 2008 hingga 27 April 2014. – 21 Mei, 2018.
Komen