SIRIH sudah pulang ke gagang.
Hari ini, hampir semua mereka yang sebelum ini tercampak kerana cuba melakukan apa yang dituntut daripada mereka dalam soal skandal 1Malaysian Development Berhad (1MDB), sesuai dengan amanah dan tanggungjawab yang diberi, kini dirujuk kembali untuk menyiapkan kerja-kerja yang tidak selesai itu.
Mereka yang sebelum ini disekat oleh pentadbiran Najib Razak daripada menyiapkan siasatan ke atas skandal 1MDB mulai minggu ini akan menyelesaikan tugasan yang sekurang-kurangnya sudah tiga tahun tertangguh.
Suatu minggu yang penuh tanda tanya pada akhir Julai tiga tahun lalu kini terlipat rapi dalam sejarah – minggu apabila bekas Peguam Negara, Abdul Gani Patail dilaporkan dihalang daripada masuk ke pejabatnya sendiri dan sebaliknya diberikan surat penamatan perkhidmatan.
Pada minggu itu juga, Najib mengukuhkan kubunya apabila memecat bekas Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin dan menggugurkan Shafie Apdal dari kabinetnya.
Selebihnya, semua itu jadi sejarah.
Rakyat Malaysia berhak tahu apa yang berlaku pada minggu yang mengejutkan itu, seperti disaran oleh pemimpin kanan DAP, Lim Kit Siang dalam satu kenyataannya hari ini.
Tetapi apa yang berlaku sudah pun berlaku – dan sudah berlalu. Ia sudah jadi sejarah. Ia tidak perlu diungkit-ungkit lagi kerana menyingkapnya semula akan membuka semula Malaysia yang lama, ketika seluruh tenaga hari ini bertumpu untuk membina sebuah Malaysia baru.
Episod pada minggu terakhir Julai 2015 itu sudah jadi sejarah. Sejarah itu terasa sudah terlalu jauh ditinggalkan apabila Malaysia kini membuka buku baru, selepas rakyat membuang segala ketakutan dan menumbangkan kerajaan Barisan Nasional.
Gani mulai hari ini mengetuai pasukan khas menyiasat duit RM2.6 bilion yang masuk ke akaun Najib, yang didakwa oleh bekas perdana menteri itu derma daripada kerabat Arab Saudi yang berhati mulia.
Bekas orang Nombor 1 di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Abu Kassim Mohamad, yang dulu ditekan sehingga agensi itu jadi porak peranda, juga berganding bahu dengan Gani.
Gani dan Abu Kassim dulu dalam satu pasukan menyiasat skandal 1MDB, bersama bekas Gabenor Bank Negara, Zeti Akhtar Aziz dan bekas Ketua Polis Negara, Khalid Abu Bakar, sebelum pasukan khas itu bubar apabila Gani dipecat.
Selain Gani dan Abu Kassim, pasukan siasatan yang dibentuk semula hari ini dipengerusikan juga oleh Mohd Shukri Abdull. Shukri, yang dulunya timbalan kepada Abu Kassim, hari ini juga memulakan tugas sebagai ketua SPRM yang baharu.
Pasukan khas siasatan itu turut dipengerusikan oleh bekas Timbalan Pengarah Cawangan Khas, Abdul Hamid Bador yang ditukarkan ke Jabatan Perdana Menteri ketika kemuncak siasatan ke atas 1MDB.
Semua mereka ini ketika tercampak dulu sebenarnya mahu menjalankan tugas serta amanah yang diberi, dengan berintegriti, sesuai dengan sumpah setia menegakkan undang-undang.
Tetapi mereka dituduh oleh pemimpin Umno dan juak-juaknya ada niat jahat. Mereka dituduh bersubahat merencanakan komplot mahu menjatuhkan Najib dan kerajaan Barisan Nasional. Mereka dituduh pengkhianat.
Itu dulu.
Dulu lain, sekarang lain.
Selepas rakyat bangkit dan mengangkat Pakatan Harapan ke Putrajaya, mereka yang terbuang itu dipanggil semula oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad. Mesej kepada mereka jelas: selesaikan siasatan kes 1MDB, kalau ada bukti cukup, bawa mereka yang terlibat ke pengadilan.
Najib yang terpelanting dari puncak kuasa kini berdepan siasatan pihak berkuasa. Malaysia akhirnya kini menyertai negara-negara lain membongkar kejahatan dalam 1MDB.
Selepas beberapa pihak yang terlibat termasuk institusi kewangan dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa di negara-negara lain terutamanya di Singapura, kini seluruh dunia bertumpu pada Malaysia – tempat asal usul penyelewengan dana pelaburan negara ini berlaku.
Siasatan pasukan khas yang dibentuk hari ini adalah siasatan yang tertangguh.
Selepas rakyat membuang Umno dan BN hampir dua minggu lalu, kerajaan yang baharu di Putrajaya mengembalikan mereka yang terbuang ke tempat asalnya untuk menyelesaikan kerja-kerja yang tertangguh itu.
Mereka tentunya tidak akan bertangguh lagi.– 21 Mei, 2018.
Komen