NAJIB Razak tidak hadir pada program Umno Pahang yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini ketika beliau bersedia untuk berdepan pihak berkuasa esok.
Bekas perdana menteri itu sepatutnya menjadi tetamu kehormat namun beliau membatalkan kehadirannya di saat akhir.
Menurut beberapa ahli Umno, Najib sedang bersedia untuk diambil keterangan esok oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya.
“Beliau kata tidak dapat hadir kerana akan diambil kenyataan,” kata ahli Umno itu kepada Malaysian Decides.
Beberapa pemimpin Umno Pahang hadir pada majlis berkenaan termasuk bekas menteri besar Adnan Yaakob, bekas menteri pembangunan luar bandar dan wilayah Ismail Sabri dan pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara Hasan Ariffin.
Bagaimanapun kesemua mereka enggan mengulas apabila ditanya tentang masalah yang dihadapi Najib sekarang.
Malah Hasan yang membersihkan Najib daripada sebarang salah laku pada 2016 enggan menjawab mengapa bekas presiden Umno itu dipanggil oleh SPRM.
Polis sebelum ini turut menyerbu beberapa kediaman Najib termasuk kediaman rasminya di Sri Perdana, ketika beliau masih memegang jawatan perdana menteri.
Antara barangan yang dirampas termasuk 284 beg tangan dan 72 bagasi yang mengandungi barang kemas, wang tunai dan barangan berharga lain.
Najib menafikan semua dakwaan penyelewengan dan mendakwa kesemua barangan yang dirampas adalah hadiah perkahwinan anak perempuannya dan derma kepada Barisan Nasional.– 21 Mei, 2018.
Komen