DR Wan Azizah Wan Ismail mengetuai barisan menteri mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V hari ini.
Bernama melaporkan majlis angkat sumpah itu, yang berlangsung di Istana Negara, turut disaksikan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
Isterinya, Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, turut hadir.
Majlis tersebut bermula pada jam 5.45 petang dengan Presiden PKR Dr Wan Azizah menerima surat cara pelantikan sebagai timbalan perdana menteri dan menteri pembangunan wanita dan keluarga.
Beliau melafazkan ikrar sumpah jawatan, disaksikan Ketua Hakim Md Raus Sharif dan Ketua Setiausaha Negara Dr Ali Hamsa.
Turut mengangkat sumpah berkenaan ialah Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin (menteri dalam negeri), Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng (menteri kewangan) dan Presiden Amanah Mohamad Sabu (menteri pertahanan).
Ahli Parlimen Simpang Renggam Dr Maszlee Malik, Ahli Parlimen Titiwangsa Rina Harun dan Naib Presiden PKR Mohamed Azmin Ali masing-masing mengangkat sumpah sebagai menteri pendidikan, menteri pembangunan luar bandar dan menteri hal ehwal ekonomi.
Manakala Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin pula dilantik sebagai menteri perumahan dan kerajaan tempatan, Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke (menteri pengangkutan) dan Timbalan Pengerusi DAP Gobind Singh Deo (menteri multimedia dan komunikasi).
Turut mengangkat sumpah Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub (menteri pertanian dan industri asas tani), Naib Pengerusi DAP M. Kulasegaran (menteri sumber manusia) dan Pengarah Strategik Amanah Dr Dzulkefly (menteri kesihatan).
Dr Mahathir mengangkat sumpah sebagai perdana menteri ketujuh pada 10 Mei, selepas kemenangan Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Umum ke-14.
Beliau dijangka menamakan baki ahli kabinet secara berperingkat. – 21 Mei, 2018.
Komen