Mahkamah tolak rayuan Anwar untuk mengundi, arah bayar kos RM5,000


Amin Iskandar

Anwar memfailkan saman pemula supaya SPR membenarkan dia mengundi dalam PRK Permatang Pauh 2015. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Mei, 2017

MAHKAMAH Rayuan hari ini menolak rayuan ketua umum PKR yang sedang menjalani hukuman penjara, Anwar Ibrahim untuk mengundi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh dua tahun lalu dengan kos RM5,000.

Penal tiga hakim diketuai Umi Kalthum Abdul Majid mengatakan mereka mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi pada 15 Julai 2016.

“Kami menolak rayuan ini dengan kos dan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan perayu (Anwar) supaya satu perintah dikeluarkan (yang) dia layak mengundi,” kata Umi ketika membacakan keputusan penghakiman panel tiga hakim itu.

Anwar yang turut berada di mahkamah diarahkan untuk membayar kos RM5,000.

Pada 15 Julai 2016, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak saman pemula Anwar terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan dua yang lain berhubung dakwaan beliau dinafikan hak untuk mengundi dalam PRK Permatang Pauh 2015. 

N. Surendran, salah seorang peguam yang mewakili Anwar mengatakan anak guamnya sudah mengarahkan agar rayuan dibuat di Mahkamah Persekutuan.

Terdahulu, peguam Anwar, Gopal Sri Ram berhujah hak mengundi bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu mengikut Artikel 119 Perlembagaan Persekutuan dinafikan SPR.

Katanya, SPR mengesahkan afidavit yang anak guamnya mempunyai hak untuk mengundi kerana Anwar tidak dijatuhkan hukuman ketika mendaftar sebagai pengundi di kawasan Parlimen itu.

Bagaimanapun, peguam kerajaan Amarjeet Singh mengatakan mengikut peruntukan Perlembagaan, SPR tidak menafikan hak mengundi bekas timbalan perdana menteri itu.

“Artikel 119 jika dibaca dengan lebih meluas mengatakan pengundi berdaftar tidak boleh membuang undi ketika berada dalam penjara atau jika disahkan gila,” katanya.

Pada 6 Mei 2015, Anwar yang merupakan bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh, memfailkan saman pemula untuk memohon perisytiharan terhadap hak beliau untuk mengundi seperti yang diperuntukkan dalam Artikel 119 Perlembagaan Persekutuan.

Selain ganti rugi dan kos, Anwar turut menuntut supaya defendan mengambil tindakan sewajarnya untuk menguatkuasakan haknya sebagai pengundi.

Dalam afidavit sokongan, Anwar mendakwa pada 30 April 2015, peguamnya menghantar surat tuntutan kepada SPR dan bekas pengerusinya Abdul Aziz Mohd Yusof untuk mendapatkan pengesahan berhubung kelayakan dia untuk mengundi dalam PKR itu, bagaimanapun tiada jawapan yang diterima sehingga hari ini.

Dia mendakwa tindakan SPR dan Abdul Aziz yang tidak membalas surat itu menafikan haknya sebagai pengundi dan melanggari Artikel 119 Perlembagaan Persekutuan.

Kata Anwar, dia merupakan seorang pengundi berdaftar di Permatang Pauh sebelum Mahkamah Persekutuan menyabitkan kesalahannya pada 10 Februari 2015 dan sudah pun mengundi dalam kawasan Parlimen itu semasa PRU13 pada 2013. – 13 Jun, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen