SERANGAN Barisan Nasional (BN) terhadap laman web pembocor maklumat Sarawak Report berhubung pendedahan skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB) akhirnya memakan diri dan menyebabkan kekalahan gabungan tersebut, kata editornya Clare Rewcastle-Brown.
Serangan itu hanya meningkatkan lagi kesedaran orang ramai terhadap artikel yang disiarkan laman web itu serta dakwaan rasuah membabitkan bekas perdana menteri Najib Razak, kata wartawan berbangsa British itu yang kini berada di Malaysia.
“Banyak serangan terhadap saya direka untuk menakut-nakutkan orang daripada bercakap dengan saya. Dan itu agak berjaya.
“Namun dalam proses tersebut, mereka telah menyerlahkan lagi apa yang diperjuangkan saya dan menunjukkan kepada mereka kejahatan kerajaan.
“Dan mereka menyusahkan ramai orang kerana ia adalah tingkah laku yang mengganggu dan tidak perlu dan orang merasa mereka dinafikan akses kepada maklumat yang boleh digunakan mereka untuk membuat penilaian,” kata Rewcastle-Brown dalam temu bual.
“Jadi, seperti sudah terantuk baru tengadah dan mereka berakhir dengan kekalahan yang menghancurkan.”
Rewcastle-Brown dituduh bekas ketua polis negara Khalid Abu Bakar kononnya mencalarkan reputasi Malaysia dengan siri laporannya berhubung skandal 1MDB.
Khalid, yang dilarang daripada ke luar negara minggu lepas selepas kerajaan baru Pakatan Harapan (PH) membuka semula kertas siasatan ke atas 1MDB, meletakkan beliau di bawah senarai dikehendaki Aseanpol.
Laman web Sarawak Report disekat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia. Sekatan itu bagaimapun ditarik balik oleh kerajaan baru PH.
Selain mendedahkan skandal 1MDB dengan mendedahkan jejak e-mel antara firma pelaburan negara itu dan beberapa individu, laman pembocor maklumat tersebut turut mendakwa Najib membayar peguam Shafee Abdullah sebanyak RM9.5 juta.
Shafee adalah ketua pendakwa raya yang dilantik kerajaan Malaysia dalam perbicaraan kes liwat ketua pembangkang Anwar Ibrahim.
Sarawak Report, dalam artikel bertarikh 31 Mei, berkata wang itu berasal daripada akaun bank “yang dikenal pasti didanai oleh wang yang dicuri oleh perdana menteri daripada anak syarikat 1MDB SRC, yang meminjam sebanyak RM4 bilion daripada tabung pencen penjawat awam KWAP.”
Sarawak Report turut mendakwa pemimpin tertinggi PAS menerima RM90 juta daripada Umno, yang menyebabkan Rewcastle-Brown disaman oleh Presiden PAS Abdul Hadi Awang. – 21 Mei, 2018.
Komen