Abu Talib jamin siasatan 1MDB akan telus dan adil 


The Malaysian Insight

PENGERUSI jawatankuasa siasatan 1MDB Abu Talib Othman berkata siasatan ke atas syarikat pelaburan negara itu akan dijalankan dengan telus dan adil, berikutan dakwaan bekas perdana menteri bahawa siasatan ke atasnya adalah bermotif politik.

“Kita perlu siasat dengan adil dan telus, mengikut prosedur. Kita perlu adil kepada semua.

“Sebagaimana yang disebut perdana menteri, peraturan undang-undang akan ditegakkan,” kata Abu Talib kepada pemberita di Menara Ilham selepas mengadakan pertemuan dengan tiga pegawai yang mengetuai pasukan khas siasatan 1MDB yang diumumkan hari ini.

Bekas peguam negara itu bagaimanapun enggan mendedahkan lebih lanjut berhubung pertemuan itu.

Abu Talib mengetuai jawatankuasa siasatan 1MDB yang ditubuhkan oleh Majlis Penasihat Kerajaan pada Jumaat.

Ahli jawatankuasa lain termasuk rakan kongsi perkhidmatan Jaminan Risiko PwC Nik Shahrizal Sulaiman, rakan kongsi kanan Naqiz & Partners, Syed Naqiz Shahabuddin Syed Abdul Jabbar, Penasihat kanan Lembaga Perkhidmatan Kewangan Faris Rabidin dan Pengarah Eksekutif Pusat Memerangi Rasuah dan Kronismes Cynthia Gabriel.

Hari ini, Putrajaya turut mengumumkan penubuhan pasukan khas 1MDB yang diketuai bekas peguam negara Abdul Gani Patail, ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohd Shukri Abdull dan bekas ketua pesuruhjaya SPRM Abu Kassim Mohamed.

Ketiga-tiganya dilihat memasuki Menara Ilham hari ini kira-kir ajam 2 peetang dan beredar meninggalkan bangunan itu pada jam 3.30 petang tanpa bercakap kepada pemberita.

Gani dipecat sebagai peguam negara selepas terdapat berita beliau bersedia untuk mendakwa Najib.

Selain dari Jabatan Peguam Negara dan SPRM, pasukan khas itu juga terdiri daripada polis, Bank Negara dan peguam yang pakar dengan isu berkaitan 1MDB yang tidak dinamakan.

Pada 2015, pasukan siasatan yang sama dibubarkan selepas tiga pegawai kanannya meletakkan jawatan di bawah pentadbiran Najib.

Najib dijadualkan menberi keterangan kepada SPRM esok.

Beliau secara konsisten menafikan salah laku ke atas 1MDB, dan mendakwa beliau menjadi mangsa dakwaan bermotif politik.– 21 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen