Semak semula kes bermotifkan politik, kata kumpulan peguam


The Malaysian Insight

KUMPULAN peguam mahu Peguam Cara Negara untuk menyemak semula kes yang bermotifkan politik yang diambil kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

Peguam Cara Negara Faizah Engku Atek kini mengalas tugas Peguam Negara sementara menunggu lantikan baru.

Dalam kenyataan hari ini, Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty Eric Paulsen mahu Nor Faizah menyemak kes berkaitan Akta Hasutan 1948; Akta Perhimpunan Aman 2012; Kanun Keseksaan; dan Akta Multimedia dan Komunikasi 1998.

“Kami menggesa Peguam Cara Negara untuk mengenal pasti sama ada tuduhan-tuduhan ini tulen atau bermotifkan politik,” kata Paulsen.

Sehubungan itu, Peguam Cara Negara harus mengarahkan timbalan pendakwa raya awam untuk menghentikan sementara kesemua pendakwaan yang sedang berjalan, dan menangguhkan kes-kes tersebut, katanya.

Beliau berkata penggunaan undang-undang “menindas” tersebut sudah “ketinggalan dan disalahgunakan secara meluas” untuk disasarkan kepada musuh politik dan penentang kerajaan terdahulu.

“Sementara pindaan dan penarikan undang-undang ini memerlukan masa dan prosiding Parlimen, tidak ada halangan dalam dasar pendakwaan Jabatan Peguam Negara, dan mereka harus memperbetulkan dengan segara bagi mencerminkan keutamaan kerajaan baru,” kata Paulsen. – 21 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen