Nurul Izzah mahu berkhidmat, tak pandang jawatan Kabinet


The Malaysian Insight

WALAUPUN tidak dilantik sebagai ahli Kabinet dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH), wakil rakyat PKR Nurul Izzah Anwar berkata beliau tetap komited dalam agenda pembaharuan.

Beliau berkata, sekarang adalah masa untuk menunaikan janji pilihan raya, menyelesaikan pelbagai isu termasuk pendidikan, dan bukan mengejar pangkat.

“Saya fikir saya akan jalankan peranan saya sebagai seorang reformis. Itu adalah keutamaan saya, fokus saya. Saya gembira.

“Untuk berlaku adil kepada diri saya, saya selalu kata, dan saya sangat konsisten. Saya terima tawaran untuk menjadi calon dalam pilihan raya kerana saya komited terhadap agenda pembaharuan.

“Saya prihatin terhadap anak-anak saya dan saya ingin mereka melihat Malaysia yang lebih baik,” katanya kepada pemberita di Komtar hari ini.

Naib presiden PKR, yang juga ahli Parlimen Permatang Pauh dan anak sulung perempuan Ketua Umum PH Anwar Ibrahim serta Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail, boleh dianggap sebagai bintang yang paling bersinar dalam arena politik Malaysia.

Walaupun dikatakan banyak pihak sebagai ahli politik muda yang berpotensi dan popular, nama beliau tidak tersenarai dalam senarai 10 menteri yang akan mengangkat sumpah jawatan di Istana Negara petang ini.

Anwar sebelum ini dilaporkan berkata Nurul Izzah menolak jawatan dalam Kabinet.

Ahli Parlimen selama tiga penggal itu berkata beliau tidak menyangka rakyat begitu perhatian mengenai kedudukannya dalam Kabinet baru yang dipimpin Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

“Ingatan yang manis… yang rakyat prihatin dan bersuara, meminta supaya saya jadi sebahagian daripada Kabinet. Ia detik yang menyenangkan dalam hidup saya.

“Saya sentiasa menghargai…. Yang rakyat mahu anda lakukan sesuatu, bukan kita yang minta kerana rasa layak daripada mereka,” katanya.

Nurul,38, juga berkata menjadi sebahagian daripada ahli Kabinet bukanlah segala-galanya.

“Kita harus mula kira yang setiap daripada kita adalah penting, yang ada peranan. Bukan menteri sahaja yang menentukan arah tuju negara.

“Ingat, kita menang pilihan raya ini kerana rakyat. Saya di sini demi jalankan tugas saya,” kata bekas ahli Parlimen Lembah Pantai itu.

Nurul Izzah berada di Pulau Pinang sehingga hujung minggu ini, bagi menghadiri pelbagai program dan taklimat daripada agensi kerajaan dan jabatan kerajaan, berkaitan projek yang dilaksanakan di kawasan Parlimennya.

Hari ini, beliau mengunjungi Pejabat Daerah Seberang Prai Tengah, ibu pejabat polis daerah dan Majlis Perbandaran Seberang Prai (MPSP) sebelum bertemu ketua menteri di Komtar.

Di MPSP dan pejabat ketua menteri, beliau bercakap mengenai Pulau Pinang yang terkemuka dari segi pembangunan mampan, menangani banjir, amalan hijau, mengiktiraf kampung dan menggalakkan industri kotej, dan menjadikan negeri itu sebagai negeri berkebajikan.

“Kita tidak boleh hanya fokus terhadap politik. Kita harus fokus kepada rakyat,” kata Nurul Izzah, yang berjanji akan menyediakan program bagi membantu golongan B40.

“Saya sedang menyediakan program yang lebih mantap dan moden mengenai perkara ini. Saya telah melakukannya di Lembah Pantai, bekerjasama dengan banyak badan bukan kerajaan (NGO).

“Saya akan meneruskan program-program ini dan membawa ia lebih jauh untuk digunakan di Pulau Pinang,” katanya. – 21 Mei, 2018.

 


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen