PEMBERI maklumat 1MDB yang juga bekas kakitangan PetroSaudi International, Xavier Justo mengadakan pertemuan kali kedua dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini, ketika kerajaan persekutuan baharu itu semakin meningkatkan lagi siasatan terhadap skandal membabitkan kehilangan wang daripada syarikat pelaburan negara itu.
Justo yang membocorkan dokumen membuktikan kesalahan bekas perdana menteri Najib Razak, dilihat keluar dari pejabat Dr Mahathir di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya petang tadi, sejam selepas beliau tiba, lapor New Straits Times.
Beliau menolak untuk bercakap dengan wartawan yang menunggu di luar.
Pertemuan itu diadakan ketika Putrajaya hari ini mengumumkan penubuhan semula pasukan petugas khas untuk melengkapkan siasatan terhadap 1MDB, yang terdiri daripada bekas peguam negara Abdul Gani Patail, bekas ketua pesuruhjaya SPRM Abu Kassim Mohamed, Ketua Pesuruhjaya SPRM Mohd Shukri Abdull dan bekas timbalan pengarah Cawangan Khas Abdul Hamid Bador.
Pasukan petugas khas itu diketuai oleh Gani ketika Najib masih berkuasa, dan kemudian dibubarkan ketika Gani dihentikan daripada jawatan peguam negara pada 2015.
Tidak lama selepas pengumuman itu, Gaji, Abu Kassim dan Shukri mengadakan mesyuarat dengan Majlis Penasihat Kerajaan, badan penasihat kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang memantau pembaharuan institusi selain jawatankuasa 1MDB yang ditugaskan mendapatkan semula wang yang dicuri.
Bekas peguam negara Abu Talib Othman mengetuai jawatankuasa mengenai 1MDB.
Semalam, Justo bertemu Dr Mahathir selama sejam 30 minit dan menggambarkan mesyuarat itu sebagai “keistimewaan dan waktu yang hebat” menerusi laman Facebooknya dan turut memuat naik gambarnya bersama perdana menteri itu.
Justo ialah bekas pengarah di PetroSaudi International Ltd yang membocorkan dokumen pada 2011 yang memperincikan jejak wang dana yang diselewengkan dari 1MDB.
Warganegara Switzerland itu mengaku bersalah atas tuduhan memeras ugut bekas majikannya PetroSaudi International, dan dijatuhi hukuman penjara tiga tahun di Thailand. Pada Disember 2016, beliau diberikan pengampunan diraja oleh raja Thai yang baharu. – 21 Mei, 2018.
Komen