Pasukan khas 1MDB adakan pertemuan dengan majlis penasihat kerajaan 


The Malaysian Insight

AHLI pasukan penyiasat khas 1MDB tiba di Menara Ilham tengah hari ini, di mana Majlis Penasihat Kerajaan mengadakan pertemuannya.

Bekas peguam negara Abdul Gani Patail, bekas ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Abu Kassim Ahmad dan ketua pesuruhjaya SPRM yang baharu Mohd Shukri Abdull dilihat di pintu masuk ke menara berkenaan.

Bagaimanapun tiada yang berhenti untuk bercakap kepada media.

Bekas peguam negara Abu Talib Othman turut dilihat memasuki bangunan menara berkenaan kira-kira jam 2.15 petang.

Tiga individu berkenaan Abdul Gani, Abu Kassim dan Mohd Shukri kemudian dilihat meninggalkan bagunan itu bersama pada jam 3.30 petang.

Abdul Gani sebelum meninggalkan bangunan berkenaan berkata beliau akan bercakap kepada media esok. Bagaimanapun dua lagi yang bersamanya enggan memberi sebarang kenyataan.

Terdahulu hari ini, Pejabat Perdana Menteri mengumumkan penubuhan pasukan siasatan khas 1MDB hari ini.

Pasukan ini akan bertanggungjawab dalam keseluruhan aspek penyelarasan siasatan, pengesanan kewangan dan perolehan aset yang berpunca dari salah laku dan penyelewengan dana 1MDB yang tersimpan atau dilaburkan di dalam dan luar negara. – 21 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen