Gani Patail, Abu Kassim ketuai semula siasatan skandal 1MDB


The Malaysian Insight

PASUKAN khas menyiasat skandal 1Malaysian Development Berhad (1MDB) dibentuk semula hari ini, selepas bubar serta merta pada Julai 2015 ketika kemuncak siasatannya dikatakan hampir mendedahkan salah laku bekas Perdana Menteri Najib Razak.

Bekas Peguam Negara, Abdul Gani Patail dan bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Abu Kassim Mohamed kembali mengetuai pasukan khas itu, yang dibentuk semula oleh kerajaan baru Pakatan Harapan selepas menumbangkan pentadbiran Najib dalam pilihan raya umum ke-14 yang lalu.

Pasukan khas itu turut dipengerusikan bersama oleh ketua badan anti rasuah yang baru, Mohd Shukri Abdull yang memulakan tugasnya hari ini dan bekas timbalan pengarah Cawangan Khas, Abdul Hamid Bador.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan memaklumkan pasukan siasatan ini disertai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Peguam Negara, Polis Di-Raja Malaysia, Bank Negara Malaysia dan beberapa orang peguam yang mempunyai kepakaran dalam perkara berkaitan.

“Perdana Menteri telah bersetuju untuk membentuk satu Pasukan Khas Siasatan 1MDB bagi menjalankan siasatan terperinci berkaitan kes 1MDB, pengesanan dan rampasan aset serta pendakwaan terhadap individu yang melakukan apa-apa kesalahan jenayah dalam pengurusan 1MDB,” kata kenyataan itu yang dikeluarkan tengahari ini.

Pasukan khas ini bertanggungjawab menyelaraskan siasatan yang melibatkan pelbagai agensi serta mengesan wang dan perolehan aset yang melibatkan penyelewengan dana 1MDB di dalam dan luar negara.

Ia juga bertanggungjawab mendapatkan kerjasama pelbagai agensi penguatkuasaan di Amerika Syarikat, Switzerland, Singapura, Kanada dan lain-lain negara yang turut menyiasat skandal itu.

Menurut kenyataan itu lagi, kerajaan berharap siasatan pasukan khas ini akan “mengembalikan maruah negara yang telah tercemar selama ini” selain mengembalikan wang dan aset rakyat Malaysia yang diselewengkan dari 1MDB.

Pasukan khas siasatan sebelum ini bubar setelah Gani dipecat daripada jawatannya sementara Abu Kassim dan bekas Gabenor Bank Negara, Zeti Akhtar Aziz tamat perkhidmatan.

Seorang lagi anggota pasukan khas, bekas Ketua Polis Negara, Khalid Abu Bakar kemudian mengetuai sebuah pasukan siasatan yang baru.

Gani, Abu Kassim dan Zeti ketika itu pernah dituduh oleh pemimpin Umno sebagai terlibat dalam “komplot” untuk menjatuhkan Najib melalui siasatan terhadap skandal 1MDB.

SPRM semasa diterajui Abu Kassim dilaporkan sudah menyerahkan kertas siasatan kepada Jabatan Peguam Negara berhubung derma RM2.6 bilion dan SRC International Sdn Bhd, anak syarikat 1MDB.

Gani baru-baru ini dilaporkan memberitahu Dr Mahathir, yang mengotakan janji membuka semula siasatan terhadap 1MDB, bahawa beliau sudah sedia untuk mendakwa Najib apabila beliau sendiri kemudiannya dilucutkan dari jawatannya pada 27 Julai 2015.

Pasukan siasatan 1MDB yang dipengerusikan oleh Gani dan dianggotai oleh Abu Kassim dan Zeti serta bekas ketua polis negara, Khalid Abu Bakar itu kemudiannya bubar.

Peguam Negara yang menggantikan Gani, Mohamad Apandi Ali kemudian membersihkan Najib daripada sebarang kaitan dengan dana SRC International.

Najib selama itu dan sehingga sekarang mempertahankan dakwaan kononnya wang RM2.6 bilion itu datangnya dari derma kerabat raja Arab Saudi.

Bekas perdana menteri itu dijadual memberikan keterangan kepada SPRM di Putrajaya esok berhubung siasatan terhadap SRC International.– 21 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen