KERAJAAN Pakatan Harapan (PH) mesti menunaikan janji untuk mempunyai sekurang-kurangnya 30% wakil wanita dalam Kabinet, tuntut sekumpulan penyokong hak wanita hari ini.
Dalam manifesto Buku Harapan, di bawah Komitmen kepada Wanita, PH berjanji untuk menaikkan perwakilan wanita dalam Kabinet sehingga 30%.
Kumpulan Tindakan Bersama Wanita (JAG) berkata, walaupun menyambut baik pelantikan Dr Wan Azizah Wan Ismail, Rina Harun dan Zuraida Kamaruddin dalam senarai awal 14 anggota Kabinet, ia berharap parti pemerintah tidak akan menarik kembali janjinya kepada rakyat Malaysia.
Satu petisyen yang dilancarkan oleh kumpulan sembilan hari lalu “mengingatkan” kerajaan terhadap janjinya sudah memperoleh 6,400 tandatangan.
“Kami terkejut ia berjaya mendapat 1,000 tandatangan dalam masa sejam,” kata Angela M. Kuga Thas, pengarah eksekutif Empower Malaysia, ahli JAG.
“Sokongan pantas mengejutkan kami. Sudah tentu ia perlahan sekarang kerana saya fikir rakyat berasa sedikit kecewa dengan bagaimana wanita dipertimbangkan dalam jawatan itu,” katanya.
Kumpulan itu berkumpul di depan Istana Negara, di mana 14 Kabinet akan bersumpah pada hari ini, bagi menarik perhatian terhadap tuntutan mereka.
Dalam surat terbuka kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, JAG berkata pemilih berdaftar wanita melebihi lelaki dalam pilihan raya baru-baru ini pada 9 Mei, dan wanita dalam PH memainkan peranan penting dalam membawa kejayaan.
“Kami mendengar dan memuji komitmen anda untuk menghapuskan diskriminasi terhadap wanita dalam ucapan anda pada malam sebelum Pilihan Raya Umum ke-24,” tulis surat itu.
“Walaupun kita menyambut baik keputusan PH menjadikan Dr Wan Azizah sebagai timbalan perdana menteri wanita pertama, perlantikannya sahaja tidak mencukupi,” kata JAG dalam surat terbukanya.
Zuraida dilantik sebagai menteri perumahan dan kerajaan tempatan, sementara Rina daripada Bersatu sebagai menteri pembangunan luar bandar.
Dr Mahathir berkata baki 15 hingga 20 lagi menteri akan dilantik dalam masa terdekat. – 21 Mei, 2018.
Komen