Azmin terima jawatan menteri


The Malaysian Insight

AZMIN Ali menerima jawatan menteri hal ehwal ekonomi dan melepaskan jawatannya sebagai menteri besar Selangor.

Timbalan presiden PKR itu menerima jawatan dalam Kabinet Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad selepas mendapat perkenan daripada Sultan Selangor.

“Sultan Selangor memberi perkenan itu susulan daripada penjelasan dan jaminan yang diberikan oleh perdana menteri berkaitan skop kerja dan bidang kuasa kementerian baharu itu,” kata Azmin dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau juga berjanji akan menukar keadaan ekonomi di Malaysia, di mana ia berada di bawah pengurusan yang teruk ketika dalam pentadbiran Barisan Nasional sebelum ini.

“Saya berazam untuk meningkatkan persaingan ekonomi negara untuk sekali lagi meletakkan Malaysia sebagai kuasa ekonomi di rantau ini.

“Tidak syak lagi, kami akan kekal komited kepada perjuangan keadilan sosial dan inisiatif untuk memastikan kekayaan negara ini diagihkan secara adil dan saksama,” kata Azmin.

Wakil rakyat Gombak itu berkata walaupun beliau sayangkan rakyat Selangor, beliau terpaksa berkhidmat untuk tujuan lebih tinggi dalam kerajaan persekutuan.

“Saya meninggalkan Selangor dengan berat hati. Namun, saya sedar saya mempunyai tanggungjawab lebih besar kepada negara dan rakyat Malaysia,” katanya.

Dr Mahathir pada Jumaat lalu mengumumkan senarai 15 menteri Kabinet termasuk menamakan Azmin sebagai menteri hal ehwal ekonomi.

Azmin, 54, mengangkat sumpah sebagai menteri besar Selangor untuk penggal kedua di hadapan Sultan Selangor pada 11 Mei lepas.

Beliau mengangkat sumpah kali pertama sebagai menteri besar pada 23 September, 2014.

Dua wakil rakyat Selangor yang dikatakan bakal menggantikan Azmin ialah Adun Sungai Tua Amirudin Shari dan Adun Seri Setia Dr Shaharuddin Badaruddin. – 21 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen