Editor Sarawak Report pertahan pendedahan artikel babit KWSP


The Malaysian Insight

CLARE Rewcastle-Brown, pengarang laman web penyebar maklumat Sarawak Report, hari ini mempertahankan pendedahan terbarunya berkenaan dakwaan penyelewengan wang berskala besar oleh bekas kerajaan Barisan Nasional daripada beberapa seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Saya mempertahankan tuduhan bahawa ada beberapa cubaan berkaitan dengan individu dalam KWSP, dan berkait dengan Pejabat Perdana Menteri untuk mengeluarkan wang daripada dana itu dan banyak lagi,” katanya dalam temu bual bersama BFM radio pagi tadi.

“Saya ada rujuk silang dokumen yang saya peroleh dan saya bercakap dengan ramai orang di seluruh dunia yang mengesahkan mereka akan terbabit dalam aktiviti berkaitan Integrated Medical City,” katanya merujuk kepada projek pelaburan yang didakwanya tidak wujud.

Rewacstle-Brown berkata beliau berharap agensi pencegahan rasuah di bawah kerajaan baharu akan menyiasat perkara itu kerana beliau pasti wujud cubaan mengeluarkan duit daripada dana berkenaan ketika pilihan raya umum lalu.

“Dan semua cubaan itu sudah pasti berkait dengan Pejabat Perdana Menteri dan perdana menteri sendiri.

“Saya fikir ini perlu disiasat, saya harap i sebahagian daripada gambaran keseluruhan dan ia perkara yang sangat penting hingga saya rasa ia perlu disiarkan.

“Sebab itu saya siarkan artikel itu,” katanya.

Pada Februari tahun ini, Sarawak Report mendedahkan butiran daripada dokumen yang diperoleh daripada sumber penulis blog berpangkalan di Australia, yang menyatakan berlaku amalan pengubahan wang haram berbilion ringgit, membabitkan wang daripada kumpulan dana awam dikawal Kementerian Kewangan.

KWSP dinamakan sebagai salah satu kumpulan dana yang disasarkan dalam beberapa siri penipuan itu, termasuk projek pelaburan Integrated Medical Cities bernilai RM47 bilion.

“Dari tempoh bermula 2015, bon dimiliki KWSP didakwa dijadikan jaminan sebagai cagaran untuk mengumpul wang yang sepatutnya untuk projek perubatan itu kepada syarikat kewangan berpangkalan di Luxembourg dan Amerika Syarikat, dengan nama Limage Holdings S.A,” menurut artikel itu.

Menurutnya, KWSP memindahkan bon umum bernilai RM10.6 bilion kepada Limage Holdings SA, yang dikatakan milik Hungarian Gyorgy Matrai.

KWSP menafikan tuduhan itu, berkata ia tidak pernah berurusan dengan Limage Holdings, Limage Southwest Holdings, individu dikenali sebagai “Mr Matrai” atau mana-mana pihak seperti dinyatakan oleh Sarawak Report.

Ia juga berkata tidak ada dana atau bon dipindahkan ke syarikat, pihak atau individu yang disebut. Katanya, penipuan seperti itu tidak akan melepasi rangka kerja pengurusan KWSP yang kuat.

Bagaimanapun, KWSP berkata ia sedar berkenaan dua surat pada 2015 dan 2016 berkaitan dengan syarikat dan individu yang disebut, dan laporan polis dibuat di mana agensi itu mendakwa ia adalah dokumen palsu.

Sarawak Report juga menyentuh mengenai pembabitan kumpulan perbankan RHB.

Memetik sumber, laman web itu mendakwa AS$1.6 bilion (RM6.4 bilion) dipindahkan dari KWSP ke akaun RHB di Kuala Lumpur milik entiti TJJR Diversified (M) Sdn Bhd pada Januari, dimiliki oleh seorang wanita yang dikatakan menguruskan projek hospital yang disokong KWSP dan Kementerian Kesihatan.

RHB juga menafikan tuduhan itu dan menganggapnya sebagai tidak berasas dan tidak benar. – 21 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen