SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerima ketua pesuruhjaya yang baharu, Mohd Shukri Abdull, ketika agensi itu melancarkan semula siasatan terhadap skandal berbilion dolar 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang mengaitkan bekas perdana menteri Najib Razak.
Shukri yang sebelum ini bersara daripada jawatan timbalan ketua pesuruhjaya SPRM, masuk ke pejabatnya 10.29 pagi tadi selepas dilantik menggantikan Dzulkifli Ahmad yang meletak jawatan itu minggu lalu.
Bercakap ringkas kepada media, Shukri berkata SPRM sedang berdepan dengan kes yang sukar.
“Bagi saya ia sangat sukar. Saya akan bercakap dengan media esok,” katanya.
SPRM membuka semula siasatan terhadap SRC International anak syarikat 1MDB sebelum ia ditukar dan diletak di bawah Kementerian Kewangan.
Najib dipanggil ke SPRM untuk memberikan keterangan esok berhubung siasatan kes rasuah berkaitan SRC International.
Bekas presiden Umno dan pengerusi Barisan Nasional itu menjadi subjek siasatan polis dalam skandal 1MDB sejak Rabu, apabila ratusan barangan dirampas dari kediamannya, Pejabat Perdana Menteri dan Seri Perdana – kediaman rasmi Najib ketika menjadi perdana menteri.
Antara barangan yang dirampas ialah 284 kotak beg tangan berjenama termasuk Hermes Birkins, yang dikatakan bernilai ratusan ribu ringgit setiap satu. – 21 Mei, 2018.
Komen