Dakwaan rasuah Taib Mahmud ujian besar Pakatan, kata pengarang Sarawak Report


The Malaysian Insight

TEKANAN yang semakin meningkat agar menyiasat dakwaan rasuah terhadap Gabenor Sarawak Abdul Taib Mahmud akan menjadi satu ujian besar bagi kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang baharu, kata Clare Rewcastle-Brown, pengarang laman sesawang pemberi maklumat Sarawak Report.

“Saya fikir dari apa yang dapat kita lihat, kerajaan persekutuan baru ini rapat dengan Taib Mahmud pada masa ini, dan saya fikir ia hanya membenarkan proses undang-undang sepatutnya diteruskan dalam perkara ini.

“Saya yakin akan ada aduan mengenai rasuah di Sarawak yang patut didengar,” katanya dalam temu bual radio BFM hari ini.

Rewcastle-Brown diminta memberikan pendapatnya sama ada Taib, bekas ketua menteri Sarawak selama 33 tahun sebelum melepaskan jawatan pada 2014, akan dibawa ke mahkamah atas tuduhan rasuah besar-besaran di negeri terbesar negara ini, memandangkan beliau dipercayai mempunyai hubungan yang rapat dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

“Saya rasa ini akan menjadi salah satu ujian besar kerajaan baharu, kerana jelas kerajaan negeri Sarawak tidak berubah, ia masih orang yang sama rapat dengan Barisan Nasional (BN) sebelum ini,” katanya.

Menurutnya, semua pihak sedar akan suara hati penduduk Sarawak yang juga inginkan perubahan dan beliau memberi perhatian terhadap perkara itu.

Rewcastle-Brown juga menambah beliau percaya akan ada lebih banyak laporan dan aduan yang dibawa ke pihak berkuasa terhadap Taib.

“Sudah ada penyiasatan SPRM yang besar terhadap rasuah di Sarawak dan Sabah yang mana pentadbiran terdahulu berusaha mengabaikannya. Sekarang, mungkin mereka akan mengambil laporan itu dan mula menyiasatnya,” katanya.

Kumpulan masyarakat sivil menyeru kerajaan baru menyiasat dakwaan rasuah terhadap Taib.

Pengerusi Persatuan Hak Asasi Manusia Kebangsaan (Hakam), Ambiga Sreenevasan, mendesak Dr Mahathir dan PH bertindak atas dakwaan salah laku Taib, sementara pemimpin Gerakan Perubahan Sarawak (MoCS) Francis Siah meminta Dr Mahathir menyiasat “pencuri terbesar” di Malaysia yang tinggal di Sarawak. – 21 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen