EDITOR Sarawak Report Clare Rewcastle-Brown berkata beliau mempunyai bukti kukuh menunjukkan Umno memberikan wang kepada PAS.
Dalam satu temu bual dengan BFM radio, beliau berkata tindakan saman PAS terhadapnya menyebabkan beliau menemui lebih banyak butiran tentang pemindahan wang yang dikatakan dilakukan oleh bekas presiden Umno Najib Razak kepada PAS.
Rewcastle-Brown berkata saman itu menuduhnya mendakwa Presiden PAS Abdul Hadi Awang mengambil wang daripada Najib, berdasarkan artikel yang ditulisnya dalam Sarawak Report.
“Itu apa yang mereka kata saya maksudnya, tetapi sudah tentu itu bukan apa yang saya kata.
“Saya salah seorang yang boleh melaporkan apa yang ramai percaya (tentang wang dari Umno ke PAS), dan itu apa yang saya kata; bahawa ramai di Malaysia yang percaya tentang wang itu, dan jumlahnya saya gunakan berdasarkan kepada kajian pada masa itu dan apa saya dengar,” katanya.
Bagaimanapun, katanya kerana tuntutan saman itu, beliau kemudiannya terpaksa melihat tentang kaitan itu dengan lebih rapat, dan akhirnya membawa penemuannya kepada lebih banyak bukti terhadap tuduhan itu.
“Dan saya ada lebih banyak bukti,” katanya dalam temu bual itu.
Pada Mac, peguam Wan Rohimi Wan Daud yang mewakili Hadi mengumumkan bahawa Mahkamah Tinggi London memerintahkan Sarawak Report membayar RM156,017 kos dalam kes terhadap Hadi.
Beliau berkata presiden parti Islam itu menang semua lima permohonan interlokutori dalam saman fitnahnya terhadap Rewcastle-Brown, selepas parti itu memfailkan saman fitnah berhubung artikel tulisannya mendakwa PAS menerima RM90 juta rasuah daripada Umno.
Sarawak Report bagaimanapun menolak pengumuman itu, berkata dakwaan bahawa “lima permohonan tewas” dan Hadi “menang kes itu” adalah palsu. – 21 Mei, 2018.
Komen