ADA yang gelar ia Malaysia baharu selepas Pakatan Harapan (PH) menang PRU14 pada 9 Mei. Dengan kemenangan yang dibawa oleh Dr Mahathir Mohamad itu, beberapa wajah yang biasa dilihat kini kembali ke depan.
Daim Zainuddin mengetuai majlis dianggotai individu terkemuka yang bersama-sama menasihati kerajaan iaitu antaranya bekas gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Zeti Akhtar Aziz, bekas pengerusi Petronas Hassan Marican dan beberapa yang lain.
Kini, mereka yang pernah diketepikan dan terlepas pandang atau mereka yang pernah menentang pentadbiran Najib Razak nampaknya diberi habuan menerusi jawatan tinggi.
Sementara mereka yang pernah berpakat dengan Najib dicampak ke Jabatan Perkhidmatan Awam.
Beberapa nama sudah disahkan. Shukri Abdull akan kembali ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai ketuanya, bekas timbalan pengarah Cawangan Khas Abdul Hamid Bador akan kembali memegang jawatan penting, bekas timbalan gabenor BNM Nor Shamsiah Mohd Yunus mungkin dilantik sebagai gabenor.
Dan ada kemungkinan Richard Malanjum, yang kini ketua hakim Sabah dan Sarawak mungkin bakal ketua hakim Malaysia sementara hakim Mahkamah Persekutuan Zainun Ali mungkin presiden Mahkamah rayuan.
Ramai rakyat Malaysia yang cuba menggunakan layanan buruk yang diterima oleh mereka ketika rejim Najib kepada kenaikan pangkat atau mendapat perhatian ramai semula.
Tetapi Dr Mahathir, Daim dan majlis penasihat perlu berhati-hati dengan peguam, pendakwa dan ahli perniagaan berkenaan yang kembali menawarkan bantuan dan mengetuai beberapa agensi.
Mereka juga sebahagian daripada sistem lama yang PH mahu hapuskan ketika berkempen untuk pilihan raya umum sehingga berjaya menewaskan kerajaan Barisan Nasional (BN).
Mereka mungkin menentang Najib tetapi mereka menyokong sistem naungan yang diletakkan oleh Umno dan menjadi pemain utama yang menjatuhkan kedaulatan undang-undang dan kebebasan badan kehakiman.
Rakyat Malaysia mahu yang terbaik untuk negara ini dan itu sebabnya mereka buang kerajaan BN dan meletakkan PH di Putrajaya.
Sekarang, mereka mahu melihat penjawat awam yang lebih baik untuk Malaysia baharu – bukan sekadar muka biasa dalam barisan pihak berkuasa. – 21 Mei, 2018.
Komen