PEGUAM kepada Lim Guan Eng berkata mereka memfailkan permohonan menggugurkan dakwaan rasuah terhadap bekas ketua menteri Pulau Pinang itu.
Lim dituduh menggunakan kedudukannya sebagai ketua menteri untuk mendapatkan suapan untuk diri sendiri dan isterinya Betty Chew dengan meluluskan permohonan oleh Magnificent Emblem bagi menukar status tanah pertanian kepada kediaman semasa mesyuarat jawatankuasa perancang negeri pada 18 Julai 2014 - satu kesalahan di bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.
Lim juga didakwa menggunakan kedudukannya mendapatkan tanah dan banglo yang terletak di No 25, Jalan Pinhorn, George Town, daripada bekas pemilik tanah Phang Li Koon dengan harga RM2.8 juta, harga yang beliau dakwa tahu tidak sepadan dengan nilai pasaran pada masa itu iaitu sebanyak RM4.27 juta.
Lim menafikan sebarang kesalahan dalam kedua-dua kes.
Peguam Ramkarpal Singh, yang juga ahli Parlimen Bukit Gelugor itu berkata hari ini yang peguam peguam Lim akan memfailkan dakwaan itu dijatuhkan segera.
“Kami akan mencadangkan agar semua dakwaan tersebut digugurkan. Sudah tentu terpulang kepada peguam negara untuk mempertimbangkannya,” kata beliau kepada pemberita di luar mahkamah hari ini.
Terdahulu, Ramkarpal memohon pendengaran hari ini ditangguhkan kerana Lim dan peguam utamanya, Gobind Singh Deo tidak dapat hadir.
Kedua-dua pemimpin DAP itu akan mengangkat sumpah sebagai menteri kewangan dan menteri komunikasi dan multimedia di Istana Negara hari ini.
Sekiranya didapati bersalah di bawah Akta SPRM, Lim berdepan penjara sehingga 20 tahun, denda lima kali jumlah atau nilai rasuah, atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.
Ramkarpal berkata sejak hari pertama, pihak pembelaan menyatakan dakwaan terhadap Lim bermotifkan politik.
“Kami akan memfailkan representasi minggu ini atau seterusnya. Kami harap ia akan dipertimbangkan.
“Ia akan dilakukan dengan cara yang betul dan kita akan dapat melihat kes itu dari sudut yang baru. Itulah yang kita mahu capai.
“Jika tidak, kita akan meneruskan kes itu. Kami tidak ada masalah dengannya,” katanya.
Ramkarpal turut membincangkan perkara ketiadaan Peguam Negara Mohamed Apandi Ali, yang diarahkan bercuti.
Tugas Apandi kini diambil alih peguam cara negara untuk sementara waktu.
“Terdapat perkara tidak jelas berkenaan status peguam negara… sama ada peguam negara baru akan dilantik sebelum kontrak Apandi berakhir pada Julai.
“Kita mempunyai dua pilihan - untuk menulis kepada peguam cara untuk mempertimbangkan representasi kami, atau menangguhkan sehingga peguam negara baru masuk,” kata Ramkarpal.
Ditanya mengenai ucapan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad minggu lalu yang Lim perlu dibebaskan daripada tuduhan rasuah sebelum mengangkat sumpah sebagai menteri, Ramkarpal berkata tidak ada undang-undang menghalang Lim menerima jawatan kementeriannya.
“Prinsip asas adalah seseorang itu tidak bersalah sehingga terbukti bersalah. Tiada apa-apa yang menghalangnya daripada mengangkat sumpah.”
Sementara itu, peguam Phang V. Sithambaram berkata pertuduhan terhadap anak guamnya juga akan gugur jika kes terhadap Lim digugurkan.
Beliau juga berkata pihaknya mengemukakan bukti baru kepada mahkamah yang memerlukan mereka memfailkan representasi baru.
“Kami memperoleh lebih banyak bukti dokumentari mengenai penilaian harta selepas perbicaraan bermula.
Kes itu melalui tiga hari perbicaraan pada akhir Mac, dengan pihak pendakwaan memanggil 25 daripada 55 saksi. Perbicaraan itu ditangguhkan kerana persidangan Dewan Rakyat dan kemudiannya Pilihan Raya Umum ke-14.
Timbalan Pendakwa Raya Masri Mohd Daud enggan memberi komen apabila ditanya mengenai rancangan pihak defendan untuk menggugurkan dakwaan terhadap Lim.
Beliau juga berkata pihak pendakwaan tidak berkata apa-apa mengenai menarik semula kes itu.
“Peguam negara baru akan mempertimbangkan representasi oleh pembela. Kita tidak tahu bila peguam negara baru akan datang.
“Biar pihak mahkamah membuat keputusan,” katanya. – 21 Mei, 2018.
Komen