PERDANA Menteri DR Mahathir Mohamad menggesa kakitangan awam bersama-sama kerajaan baru membina semula Malaysia untuk menjadi negara dihormati, dalam ucapan sulungnya di Putrajaya hari ini.
“Ini adalah perjuangan kita,” kata Dr Mahathir di depan kira-kira 1,000 penjawat awam yang bekerja di bawah Pejabat Perdana Menteri.
“Saya kecewa kerana kita pernah mempunyai badan pentadbiran yang terbaik di kalangan negara Komanwel, dan kita dapat menjalankan tanggungjawab kita dengan jayanya, tetapi hari ini negara kita tidak lagi dihormati dan pentadbir tidak lagi dihormati.
“Adalah menjadi tanggungjawab kita untuk membina semula negara ini,” katanya.
Dr Mahathir berkata mereka yang bekerja di dalam kerajaan perlu cekap dan paling penting adalah mematuhi sistem pentadbiran.
“Pentadbiran yang baik perlu dilakukan oleh mereka yang benar-benar mahu berkhidmat kepada negara,” katanya.
Penjawat awam juga harus menolak sebarang arahan yang melanggar undang-undang.
“Tetapi pada masa lalu, mereka tidak mempunyai kuasa untuk menasihati atau menghentikan apa-apa yang melanggar undang-undang mungkin kerana mereka disogok atau takut. Tetapi orang-orang yang berbuat salah akan berdepan undang-undang.
“Kita perlu ingat apa yang salah tetap salah dan sebarang salah laku akan ditangani mengikut undang-undang. Hanya dengan cara itu kita boleh membersihkan pentadbiran.”
Beliau berkata negara itu harus ditadbir mengikut undang-undang. – 21 Mei, 2018.
Komen