Bekas perdana menteri Najib Razak dan isteri Rosmah Mansor berlepas pulang ke Kuala Lumpur pagi ini selepas meluangkan masa sehari bersama penyokong di kawasan Parlimennya.
Konvoi kenderaan membawa pasangan itu dilihat berlepas dari kediaman Sri Kenangan di Pekan pada kira-kira 8.20 pagi.
Beliau dijangka tiba di kediamannya di Taman Duta, Kuala Lumpur pada 12 tengah hari.
Pada petang ini, beliau juga dijadualkan menyertai majlis berbuka puasa bersama Umno Pahang di ibu pejabat parti itu di Kuala Lumpur.
Pergerakan Najib kini dipantau rapi ekoran siasatan berhubung dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Esok beliau dijangka hadir untuk memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia bagi kes berhubung SRC International, salah sebuah syarikat berkaitan 1MDB.
Siasatan berkaitan SRC International itu adalah berhubung penggelapan dana berjumlah RM42 juta.
Beliau menafikan segala tuduhan penyelewengan berkaitan dana terbabit. – 21 Mei, 2018.
Komen